SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: Isteri Gersang VS Suami Kontang

Friday, July 16, 2010

Isteri Gersang VS Suami Kontang



Asalamu’alaikum wbt semua, rasanya ramai yang tertarik bila membaca tajuk tu. Masing-masing dalam kepala, rasanya terbayang perkara yang sama kot??? Emm.. tapi maaflah telahan anda itu salah.

ISTERI GERSANG..dan ISTERI KEGERSANGAN adalah dua tamsilan yang banyak bedanya. Isteri Gersang yang saya maksudkan disini ialah isteri yang sepertinya padang pasir di gurun sahara.. kering dan kontang tidak pandai untuk menjadi oisis yang mengalirkan air, menyuburkan lembah disekitarnya. Manakala isteri kegersangan adalah isteri yang tidak mendapat ‘hak’ nya dengan sempurna.

Pertama sekali tolong! Kisah seks rumahtangga adalah satu perkara yang wajib diberi perhatian dan dibawa berbincang. Cuma kita orang melayu selalu mengganggap seks adalah tabu dan sangat mengaibkan untuk dibicarakan secara terbuka. Walhal ini adalah satu perkara terpenting dalam perkahwinan. Bukankah dengan sah lafas nikah, maka seks yang dulunya haram menjadi halal?

Jadi saya tidak merasakan ianya satu yang memalukan dan tabu untuk dibincangkan secara terbuka dengan batas dan cara ilmiah yang betul. Tidak perlulah ada yang menegur saya mengatakan bahawa kerana saya seorang wanita ia adalah satu yang  keterlaluan dan melampau, sedangkan dalam kepala semua kita tetap ada unsur seks waima dimana pun jua anda berada….

Justeru saya tetap akan memperkatakan tentang ia.. dalam  artikel saya akan datang. Ini bukan soal lucah atau erotisme, tetapi jika kita sebagai lelaki dan wanita melupakan hakikat kejadian manusia, bagaimana kita dapat mengulangi sejarah kehebatan Islam dan bangsa melayu? Kita perlu kembali kepada dunia tasawwuf. Soal katil juga soal tasawwuf, kerana ia berkaitan dengan kejadian insan yang disebut Allah sebagai khalifahNya. Jadi kembalilah kejalan kesufian untuk menyelesaikan masalah umat sekarang yang ratanya adalah masalah akhlak.

Sejak akhir-akhir ini disana sini kita melihat  banyak kejadian suami makan luar atau isteri makan luar. Istilah makan luar ini bermaksud mereka mencari kepuasan atau mendapatkan kenikmatan hubungan ‘badan’ selain dari isteri / suami yang halal. Mengapa ini terjadi? Hari ini kita bincangkan  sedikit dari ribuan masalah, kali ini saya  kupaskan ia untuk pihak isteri memahaminya. Untuk para suami sudah ada artikel susulan : suami kontang VS Isteri Gersang

Diharapkan isu ini diambil dengan hati terbuka.

Jika ada diatara masalah itu kita sebagai isteri hadapi. Maka tidak salah untuk kita mencari jalan, mengubah keadaan dan meningkatkan persedian fizikal dan mental demi kebaikan bersama. Dah terutamanya juga diri kita sendiri. Asbab kalau suami ada hal diluar, kita juga yang (bak kata orang) ‘meroyan’ bukan suami.

Kita sering dengar nasihat kepada wanita.. JANGAN LUPA JADI ISTERI SETELAH JADI IBU.. ertinya, kita diminta usah lepaskan tanggungjawab untuk melayan suami walau telah beranak pinak. Keperluan dan segala kemahuan suami hendaklah sentiasa di utamakan, didahulukan. Agar suami tahu bahawa dia mempunyai seorang isteri dan bukan sekadar seorang yang memberi zuriat kepadanya.

Pun begitu bagi saya. Lebih tepat, jangan lupa jadi KEKASH SELEPAS JADI ISTERI.. terutama dalam waktu-waktu usia ‘bom jangka’....iaitu..ANGKA 40, yang membawa persepsi berbeza pada lelaki dan wanita. Bagi lelaki, lazimnya usia ini dianggap permulaan hidup dan kematangan.

Bagi wanita pula, usia itu sering dikaitkan dengan perkara negatif dan dikatakan ’saham mula menurun’. Maklumlah wanita mula melihat dirinya yang ‘mula kembang’ dan tidak lagi seperti 20 thn sebelumnya.

Pada usia ini, lelaki menjadi lebih matang, tepat dan cermat membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih prihatin, lebih perasaan, dan lebih dalam segala-galanya. Malah sering terdengar ‘life begin at 40’… hidup mereka baru saja bermula. Ibarat kereta, mereka mula menekan minyak utk memandu laju!

Malah, ada juga yang mengatakan pada usia 40, darjah miang lelaki semakin meningkat! Benarkah? Atau mereka sedang cuba menjual saham?

Wanita juga sering memberi alasan serupa untuk menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antara yang biasa didengari, suami mula menjeling wanita lain, main kayu tiga malah berkahwin baru.

Jika ada suami yang mula menunjukkan tanda ‘keriangan’ luar biasa, maka sepatutnya dari awal  isteri menyekat suami bermain mata dengan wanita lain. Namun jika dikesan ia telah pun berlaku, jangan terus menyerang dan bertindak emosi. Anda sepatutnya menjadi lebih hebat dari sebelumnya…

*  Layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata yang memberangsangkan kerana ia boleh membangkitkan semangat dan suami berasa dihargai. Tetapi usah sekadar bercakap, isteri harus buktikan dengan perbuatan.

Jika hanya pandai memuji, tetapi di bilik tidur isteri rebah dan tidur macam tunggul, pujian itu tidak bererti langsung. Suami ingin bermanja dan nakal dengan isterinya. Justeru kembalilah menjadi seperti remaja yang dilamun cinta.

Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan suami yang seperti gelora tsunami. Maka suami akan karam dan lemas sendiri.

* Wanita pada usia 40 tahun terutama mereka yang ramai anak, rata-rata sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin. Kenapa harus begitu?

Mungkin sebab kesibukan di pejabat atau letih melayan anak-anak sepanjang hari di rumah, isteri menjadi pasif di katil. Sebenarnya tanpa mengira usia, isteri patut bijak 'berbicara' mengenai seks.

Jika anda mengalami kebosanan atau lelah untuk melayan kerenah suami., takutkanlah diri anda dengan membayangkan tugas anda akan diambil alih oleh wanita lain.. waktu itu bayangkan mungkin bakal madu adalah cabaran anda? Lainlah anda dari golongan yang tidak kisah dimadu.. rata-ratanya melenting kalau suami mahu pasang satu lagi. Tapi tindakan kita ibarat kita memberi isyarat “abg,..kahwinlah lagi satu”. Lalu bagaimana?

Jadi, setiap kali jika suami anda ingin mengajak anda bermesra.. bayangkan keseronokan. Jika anda merungut dan memberi respon negetif. Maka sepanjang ‘permainan’ anda bukan memberi dan menerima keseronokan tetapi memberi dan menerima tekanan dan akhirnya permainan dan persembahan anda hambar dan membosankan.. ingat.. pesaing anda

diluar sana...

* Wanita pada usia 40 hingga 45 tahun masih cantik dan menawan. Mungkin tidak secantik gadis belasan tahun, tetapi jika bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling pada orang lain. Bukankah anda dahulu pilihan hatinya..justeru kembalikan nostalgia lama dalam versi baru yang berbeda.

Masalahnya, sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan soal ketrampilan diri. Mereka membiarkan rambut menggerbang macam penunggu. Dahi berkerut, bibir berkedut, tanpa bedak serta tanpa gincu. Pipi pula berminyak semacam. Bila nak keluar boleh pula kita berbedak sakan. Kenapa tidak untuk suami?

Kebanyakan wanita terutama melayu dari pemerhatian, mereka gemar menggunakan kain batik dan t’shirt atau baju kelawar / kaftan. Mengapa tidak kita menggunakan baju tidur? Pijama atau lingeria? Terlalu seksi? Tidak sesuai? Mengapa ada anggapan begitu? Pilihlah yang sesuai suasana, usia, dan selera.

Banyak terdapat baju tidur yang cantik dan boleh membangkitkan selera suami dibilik tidur,. Malah sebenarnya jika anda meggunakan pakaian yang cantik anda juga akan terasa cantik dan menarik. Bukan tidak boleh baju kelawar, t’shirt dan batik. Tapi adakah untuk meraikan dari sendiri anda berkira, apatah lagi jika anda dipandang cantik oleh suami…

Sedarkah anda.. waktu suami di pejabat dan jalanan, wanita yang mereka temui atau berurusan dengan mereka, tiada seorang pun yang memakai baju kelawar, t’shirt dan batik! Bagaimana mereka tidak berubah selera. Jadi usahakanlah untuk tampil menarik dan menawan hati suami. Carilah baju tidur atau pijama dari sutera atau satin, sejuk licin dan lembut...tapi menghangatkan suami anda.

Membazir? Tiada istilah membazir jika wang yang anda guna/ laburkan itu adalah untuk anda dan suami tercinta. Kerana hasil dari pelaburan itu akhirnya dapat kepada anda juga.

Apa yang dikehendaki suami ialah penampilan seorang isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Usah terlalu manja, nanti suami pula naik lemas. Itu dah dikira mengada-ngada dan merimaskan suami!

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Anda sendiri tentu suka menghidu yang wangi, jadi kenapa tidak memberikan bau yang harum untuk suami?

* Sentiasa senyum. Sambutlah suami dengan senyuman paling manis, ikhlas dan bukan dibuat-buat. Ingat, suami tahu antara senyuman ikhlas dan senyum palsu.

Bukankah senyum itu sedekah, anda dapat pahala. Bahkan senyum yang ikhlas, akan membuat jiwa suami terawat dari tekanan dan masalah yang dihadapinya

* Ini antara tempat terpenting dalam kamus hidup bersuami isteri. Bilik tidur! adalah tempat rehat bagi suami isteri, oleh itu haruslah beretika. Tempat tidur mesti selalu kemas dan menarik. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam. Tukar cadar sekerap mungkin. Tolonglah jaga kebersihan!

Sesekali taburkan bunga-bungaan wangi di atas tilam. Alah..macam masa hari kahwin dulu tu.. Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati 40-an, bau haruman di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Bagi sesetengah wanita.. asal boleh rehat sudahlah. Sedangkan disinilah tempatnya ‘ruh’ antara anda dan suami bersatu dan berpadu.

Jadi tolonglah sedapat mungkin. Bangkitkan suasana ‘gairah’ disini. pastikan bau  wangi seperti zaman baru berkahwin dulu, jangan  lebih kepada bau minyak angin. Sediakan satu bekas khas jauh dari kamar untuk menempatkan minyak angin,minyak urut, dll.

Jika setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak angin, matilah seleranya untuk ‘mencakar’. Ini mungkin nampak remeh, tetapi isteri harus memahaminya. Suami selalunya mempunyai tekanan kerja diluar dan ingin melepaskan tekanan dirumah dengan layanan dan kemesraan dari isteri. Justeru, seks adalah salah satu terapi melepaskan tekanan dan memberi ketenangan kepada suami.

Sebagai isteri anda haruslah bersedia untuk memberikan kerjasama. Jika sekalipun anda sedang dalam keadaan penat dan moody, mungkin kemesraan secara gurau senda dan urutan mesra pun memadai. Jika anda pandai memujuk, suami juga selalunya bersimpati dan tidak memaksa. Sering mereka juga boleh membantu memberikan anda urutan atau picitan mesra yang melegakan perasaan anda dan pasangan.

* Satu perkara penting,..yang ini adalah kemuncak dari semua persediaan anda dan suami. rasanya semua tahu bahawa kita sangat digalakkan berdoa sebelum bersama. Doanya pun tentu anda semua tahu.. Cuma apa kata kalau kita tambah sedikit doa itu sebagai isteri “ Ya Allah, jadikan aku gembira untuk memberi kepuasan kepada suami ku. Jadikan persembahan aku untuk suami ku ini yang terbaik sehingga dia tidak dapat melupakannya, semoga kami terpelihara dari sebarang kemungkaran....”

Pandai-pandai andalah nak tambah doa tu,  bukankah kata-kata itu doa,. Semoga kita dapat memberi yang terbaik kepada suami dan semoga suami redha kita sebagai isterinya..dan kita mampu memupuk kasih sayang serta cinta, walau semakin dimamah usia.. samada usia diri mahupun usia rumahtangga....

Jom jadi isteri yang dirindui dan tidak dilupakan.. bukan isteri yang dikesali atau dijauhi……

~Ummi Nur Jannah~

2 comments:

Anonymous said...

ummi nur dah kahwin. sapa dapat istri mcm sdri tak kan ke manamana lagi

UMMI said...

Alhamdulillah, sy telah berkahwin, sy masih terus belajar, setiap hari adalah perkara baru dalam hidup kita..

bila kita sentiasa sematkan ingatan seperti itu, kita akan sentiasa seronok untuk menghadapi hidup yg mendatang, Insya'Allah