SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: kematian
Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Tuesday, August 16, 2011

Abang Tunggu mak disyurga ya

 

Dah berminggu2 aku tak kemas blog, tak ada alasan, selain tak sempat.. sibuk tu jelah, gitulah hidup. Banyak rasanya ingin dicoret, tapi setiap kali itulah aku tidak betas menarikan jemari.Tapi sebagai perkongsian naluri keibuan, kisah ini dari beribu kisah duka yg terjadi disebalik tembuk setiap hospital dimana2 saja. Disebalik seragam putih bersih, ia sebenarnya diiringi air mata darah dan tersayat setiap hati yg menanti keputusan Allah swt dalam menentukan kesudahan perjalanan takdir mereka yg disayangi.



Maka.. aku kongsikan sebuah kisah benar dan bersyukurlah serta sentiasa menghargai detik2 indah dan saat manis yang bersisa bersama orang yang kita sayangi...


Kisah Benar : "Abang,tunggu mak di syurga ya"
 

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang .

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang , baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang . Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang .

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang . Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang .

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang , cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang . Mak senyum, lantas kucup dahi abang .

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang . Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana .

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.

Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang .

Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.

Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang .

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang . Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!

Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,

Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.

Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang , tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang . Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang .

Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang . Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.

Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.

Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang ? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"

Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.

Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang .

Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan abang . Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.

Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"

Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.

Dia dukung abang , letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"

Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"

Mak dukung abang , tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"

Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang , letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.

Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang .

Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!

Apa saja yang teringin oleh tekak abang , semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.

Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang . Mak ajak abah bawa abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"

Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"

Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.

Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang . Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.

Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.

Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.

Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang . Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang . Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.

Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang , bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.

Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang , mak peluk dan usap rambut abang . Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada abang : "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.

"Jangan tahan-tahan abang . Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.

Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang . Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"

Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.

Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.

Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.

"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."

Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!

Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"

Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang .

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang . Mak halalkan air susu mak untuk abang . Pergilah abang . Mak izinkan abang pergi!"

Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"

Mak marah mereka buat begitu pada abang . Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang . Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang .

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.

Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang . Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang . Mak bisikkan di telinga abang : "Tenanglah abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang . Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"


Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?

Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.

Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang . Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang .

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.

Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang . Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang . Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.

Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang . Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.


Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).

catatan : Al fatihah buat anakanda Iqbal Fahreen Hamdan, semoga dicucuri Rahman Insya'Allah dan kepada kedua ibubapa dan keluarga, semoga tabah dengan ujian ini, Allah memilih mereka untuk ditempat kan dikalangan hambaNYA yang beri kelebihan dari musibah yang menimpa.Insya'allah dan nikmatnya adalah dari keredhaan mereka menerima takdir Allah..
 

Thursday, June 17, 2010

Sayang Janji Pada Abang Ya....(cerpen terbaik)


Marni menyanyi kecil sambil menumis lauk di depannya. Hari ni dia akan masak "kari kapitan kepala ikan merah" kesukaan suaminya. Setelah dua minggu berada di Penang menguruskan perniagaannya yang dikongsi bersama tiga orang rakannya, malam ini Hazif suaminya yang tercinta akan pulang. Sengaja Marni mengambil cuti kerja setengah-hari, hari ini.Anak-anaknya, Seri dan Nabil siang-siang sudah dijemput dari rumah ibunya. Dia mahu buat persiapan yang sebaik mungkin untuk Hazif, lelaki yang sudah menjadi suaminya hampir tujuh tahun itu, malah tiga hari lagi, genaplah tujuh tahun usia perkahwinan mereka.


Alhamdullilah, walaupun perkahwinannya dengan Hazif mendapat tentangan hebat dari ayahnya pada mulanya, ternyata Marni tidak salah pilih. Ini semua berpunca dari sikap angkuh ayahnya yang sukar menerima hakikat bahawa Marni, anaknya yang berkelulusan universiti, jatuh hati dengan Hazif, yang pada ketika itu hanya seorang kerani biasa berkelulusan sekolah menengah. Marni faham, bukan ayahnya sengaja mahu menentang.
 Orang tua itu bimbang Hazif tidak akan dapat membahagiakan Marni, anaknya yang cuma seorang itu, dengan gaji Hazif sebagai kerani. Tetapi Marni sudah nekad. Dia tahu Hazif bukan pemuda sebarangan. Dia punya cita-cita dan matlamat hidup yang tinggi. Buktinya, Hazif sanggup menghadiri kelas malam untuk mengambil Diploma. Dan yang paling penting,Hazif menyintainya sepenuh hati. Perlahan Marni mula memujuk ayahnya. Ternyata ayahnya mengalah juga akhirnya. Dan dengan restu orang-tuanya, Marni diijab kabulkan dengan Hazif dalam majlis yang penuh ceria.

"Assalamu'alaikum......", kedengaran suara memberi salam. Marni tersentak.

"Abang!Wa'alaikumussalam...", senyumnya melebar melihat Hazif di belakangnya.Tangan suaminya dicium dengan penuh kasih sayang. Sebuah ciuman singgah di dahi Marni.

"Terperanjat Mar!Bila abang masuk? Mar tak dengar bunyi pintu dibuka pun?"

"Saje aje. Nak suprisekan Mar!", Hazif membelai lembut rambut isterinya. Bau wangi singgah dihidung Marni. Rasanya baunya lain benar dengan minyak wangi yang selalu di pakai Hazif. Mungkin Hazif beli "perfume" yang baru dari Penang , fikir Marni.
 "By air...", ringkas jawapan Hazif.

"Habis kereta abang?"


"Pada Salleh...", jawab Hazif.

"Oh patutlah..", Marni hanya menganggukkan kepala. Dia kenal benar pada Salleh, salah seorang rakan kongsi suaminya. Masa bertolak kelmarin pun, Salleh menumpang kereta Hazif. Sementara Amran, rakan kongsi suaminya yang satu lagi itu, menumpangkan Mizi, rakan kongsi mereka yang ke empat.

"Hah!Amran tak ikut abang balik ke? Selalunya kalau balik outstation, dia balik sini. Cari makan dulu....", tanya Marni. Dia sememangnya sudah masak dengan perangai Amran, rakan baik suaminya itu yang masih membujang.


"Nanti dia datang.......", ujar Hazif.

"Mana budak-budak Mar...?", tanya Hazif.

" Ada dalam bilik..tidur. Kepenatanlah tu....main basikal satu pagi."

"Basikal?", tanya Hazif.

"Hah ah. Ayah bilakan mereka basikal baru. Tu yang sibuk main tu..", jawab Marni sambil meletakkan milo ais kegemaran Hazif didepannya.


"Abang laparlah..belum makan. Mar masak apa?"

"Ah.... Mar masak lauk favourite abanglah...", senyuman Marni melerek.

"Kari Kapitan?", teka Hazif.

" Apa lagi......"

"Bagus jugak tu...Mar siapkan makan. Abang nak tengok budak-budak tu sekejap. Rindu benar abang dengan dia orang...."

"Habis dengan mamanya tak rindu ke?", usik Marni.

"Tersangatlah rindu.....", jawab Hazif lalu mengucap dahi isterinya lagi. Marni tersenyum melihat Hazif berlalu. Kasih-sayang yang sememangnya sudah berbunga di hatinya semakin mekar. Beruntung rasanya bersuamikan Hazif yang penyayang.

Hazif terlebih bersyukur mempunyai isteri yang bukan sahaja cantik tetapi pandai menjaga harga diri sebagai seorang isteri. Apatah lagi di saat ini mereka telah di kurniakan dua orang cahaya mata yang cerdik dan comel. Hazif merenung kedua-dua anaknya yang sedang nyenyak tidur. Di kucupnya pipi mereka bergantiannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir. Apalah yang akan jadi pada mereka sekiranya sesuatu terjadi kepadanya?


Itulah yang selalu Hazif fikirkan. Dia tahu, Marni seorang wanita yang cekal hatinya. Apa pun rintangan pasti Marni dapat mengatasinya. Namun, nalurinya sebagai seorang suami dan ayah yang bertanggung-jawab menjuruskan fikirannya ke arah persoalan yang sedemikian.


Marni masuk ke bilik anak-anaknya perlahan-lahan. Sempat dia melihat Hazif menyeka airmata. Marni hairan. Tidak pernah selama ini dia melihat Hazif menangis selain selepas waktu mereka sudah siap diijab kabulkan dulu. Itupun kerana kesyukurannya yang tidak terhingga kerana berjaya juga menikahi Marni walaupun mendapat tentangan hebat dari ayah Marni.


"Bang... kenapa ni...?"


Hazif mengangkat muka, memandang Marni.


"Mar...kalau apa-apa jadi pada abang, Mar jagalah anak-anak kita baik-baik. Pastikanlah mereka mendapat ajaran agama yang secukupnya...", ujar Hazif, lembut.

"Eh....apa abang merepek ni..sudah..mari kita makan. Mar dah siapkan tu..."



"Mar janji dengan abang dulu....", rayu Hazif.



Marni merenung wajah suaminya. Apa pula yang tidak kena dengan Hazif hari ini. Tidak pernah seingatnya Hazif berangai pelik seperti ini.


"Yalah...Mar janji..", akhirnya Marni bersuara, tidak mahu memanjangkan teka-teki ini lagi.


"Mar...abang ada belikan Mar sesuatu....", ujar Hazif sambil menyeluk pokek seluarnya.



"Eh......gelang zamrud....", senyum Marni tatkala melihat seutas gelang tangan zamrud yang berkilauan.



"Mar ingatkan gelang ni tak?". Gembira benar hati Hazif melihat keriangan di wajah Marni.



"Ingat?", Marni mengerutkan dahi. Sebentar kemudian dia mengeleng. Memang dia tidak ingat langsung pada gelang itu.



"Masa kita pergi honeymoon di Penang dulu. Dekat kedai masa di Komtar? Mar suka sangat tengok gelang tu. Masa tu, abang tak ada duit nak belikan Mar. Tapi abang janji pada diri abang, satu hari, abang akan belikan juga gelang tu untuk Mar. Kebetulan kelmarin, masa jalan dengan Amran, abang terpandang gelang tu. Tulah yang abang beli..."



Terpegun Marni mendengar cerita Hazif. Sungguh tidak disangka,setelah sekian lama, Hazif masih ingatkan gelang zamrud itu sedangkan dia sendiri tidak pernah mengingati gelang itu apatah lagi berangan untuk memilikinya. Kasih-sayang Hazif selama ini sudah cukup buatnya.


"Terimakasih bang....", Marni memeluk suaminya.
 "Happy seventh anniversary sayang....I love you...", bisik Hazif ke telinga Marni.



"I love you too..", balas Marni. Air jernih mula tergenang di anak matanya.



Dalam kesyaduan itu, kedengaran bell pintu dipicit orang.



"Amran agaknya tu....", bisik Hazif.



"Tak pa. Biar Mar yang buka pintu...", Marni bangun melepaskan pelukannya.



"Mar....",Hazif menyambar tangan Marni.

"I love you...very very much.....", Hazif mengucup tangan Marni, penuh kasih.
 "Me too..," jawab Marni pendek. Gelang zamrud dimasukkan ke poket bajunya.



Sebaiknya pintu terbuka, menyongol wajah Amran dengan rambut yang kusut masai.



"Hai..Am. Apa kena dengan kamu? Selalunya "smart" memanjang. Hari ni lain macam aje?", usik Marni.



Amran hanya terseyum tawar. Dia masuk tanpa dijemput dan melebuhkan punggungnya di sofa.


"Mar...can you please sit down..", pinta Amran. Marni mengerut dahi. Apa kena dengan si Amran ni agaknya?, detik hatinya.

"Please...I have something very important to tell you...", pinta Amran lagi.


Marni semakin hairan. Tetapi dia duduk juga seperti mana yang dipinta. Amran menunduk. Tidak tahu begaimana untuk memulakan perbualannya.

"Mar...apa pun yang Am nak sampaikan ni, Am nak Mar sabar dan bertawakal.


Terimalah dengan hati yang tenang...", perlahan ayat yang keluar dari mulut Amran.

"Apa yang you merepek ni Am?". Teka-teki terus bermain di benak Marni.

"Mar.......Hazif....Hazif kemalangan. Dia tak dapat di selamatkan Mar...",


tersekat-sekat kekata itu keluar dari mulut Amran.


Marni tertawa kecil. Sandiwara apa pulak yang Amran lakunkan? Hazifkan ada di rumahnya tika dan saat ini. "Apa ni Am...kalau nak bergurau pun biarlah bertempat...", balas Marni.

"I'm serious Mar.....Am yang saksikan sendiri.."


Marni terpegun. Mana mungkin Amran berkata benar sedangkan suaminya yang tercinta berada di rumahnya. Di bilik anak-anaknya.


"Am.....apa yang Am cakap ni...Hazifkan dah balik. Dia ada dekat bilik anak I. I baru berbual dengan dia..."


"Apa? Hazif dah balik?", terbeliak mata Amran. Sungguh dia tidak berbohong. Dia sendiri yang memangku kepala Hazif di saat kawan baiknya itu menghembuskannya nafas yang terakhir. Malah, dia sendiri melihat bagaimana Hazif disambar lori tanah ketika melintas jalan menuju ke keretanya di perhentian Macap tadi. Dan setelah jenazah Hazif dibawa ke hospital dengan diikuti Salleh dan Mizi, dia terus memecut menuju ke Johor Baru untuk ke rumah Hazif.

Dia mahu menyampaikan berita buruk ini pada Marni sendiri. Dia tahu betapa wanita ini menyintai suaminya.Tadipun sebelum masuk ke rumah ini, dia telah menelefon Salleh untuk memastikan segala urusan membawa jenazah Hazif pulang berjalan dengan lancar. Mana mungkin Hazif pulang ke rumah?


"Am...you dengar tak apa Mar cakap? Hazif dah balik...", Marni mengejutkan Amran dari khayalannya.

"Mar...Am tak tahu apa nak cakap. Tapi percayalah, Am sendiri yang melihat kejadian itu. Hazif meninggal di pangkuan Am Mar..."

"Bohong...Hazif dah balik...Nanti biar Mar panggil dia....", Marni semakin binggung. Apa tujuan Amran menceritakan yang bukan-bukan padanya?

Pantas dia menjenguk ke bilik anak-anaknya. Hazif tiada disitu. Ah! Tentu Hazif di bilik mereka. Dia menjenguk ke situ juga memanggil nama Hazif. Tiada jawapan. Dia berlari ke dapur pula. Mana tahu Hazif mungkin ke sana . Tiada juga. Akhirnya setelah penat mencari, Marni terduduk di ruang makan. Di samping makanan yang belum terjamah. Mulutnya di tangkup dengan tangan kanannya. Apakah benar yang Amran sampaikan? Mimpikah dia?

Amran hanya memerhati gerak-geri Marni. Sungguh kesian benar dia melihat Marni ber lari ke sana-sini mencari Hazif yang dikatakan sudah pulang. "Mar...arwahnya suruh Am sampaikan sesuatu...", Amran menghulurkan kotak berwarna merah. Marni hanya mampu memandang tanpa suara. Dia masih binggung. Namun kotak yang dihulurkan Amran disambut juga. Perlahan dia membuka kotak itu. Didalamnya terdapat sepasang subang zamrud. Terlopong mulut Marni.


"Rasanya ada barang yang hilang dari kotak tu. Kelmarin masa arwah beli, Am pasti benar ada seutas gelang zamrud bersama subang tu...tapi puas Am cari tapi tak jumpa juga", sedih suara yang keluar dari mulur Amran.

Marni memandang Amran. Terkedu. Air jernih sudah deras dipipinya. Baru dia teringat akan gelang zamrud pemberian Hazif. Dikeluarkan gelang itu dari poket bajunya.

"Ini ke Am?", tanyanya perlahan.

Amran tersentak. Benar! Itulah yang dilihatnya dibeli Hazif malam kelmarin. Saat itu tidak putus-putus Hazif menyatakan kegembiraannya dapat membelikan gelang itu untuk Marni. Tapi macam mana pula benda itu boleh berada pada tangan Marni? Apakah benar cakap-cakap Marni bahawa Hazif sendiri yang pulang menghadiahkan gelang itu kepada Marni? Kalau benar, bagaimana? Yang nyata di bumi Allah ini tiada yang mustahil dengan izinNya.

Marni hanya mampu menangis. Dia memandang "kari-kapitan' yang belum tersentuh dan milo ais yang belum terjamah. Hidangan yang sepatutnya menyambut kepulangan suaminya, terbiar begitu sahaja. Rasanya saat ini seleranya juga sudah tertutup habis. Kalau benar Hazif sudah pergi sebagaimana kata Amran, siapa pula yang datang menghadiahkan gelang zamrud ini padanya? Sungguh sukar untuk Marni menerima kenyataan ini.

Dan ketika ruang rumahnya di penuhi dengan bacaan surah Yassin, Marni masih mengharap akan kepulangan Hazif, sambil memeluk kedua anaknya yang masih terlalu kecil untuk memahami segalanya. Hanya apabila jenazah Hazif tiba di rumah, barulah Marni yakin bahawa suaminya sudah pergi untuk selamanya. Yang tinggal kini hanya seutas gelang zamrud yang menjadi saksi segalanya.

*********





Allah memegang jiwa seseorang ketika matinya dan memegang jiwa seseorang yang belum mati diwaktu tidurnya, maka Dia menahan jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai pada waktu yang ditentukan." (Q.S. Azzumar : 42).





Friday, April 24, 2009

KEMATIAN... TIDAK KAH ITU MENGINSAFKAN

* gambar ini sekadar hiasan semata-mata. bukan dari kalangan ahli keluarga kami yang telah meninggal dunia tersebut..

Minggu lepas, dalam demam, kami menerima berita sedih, kembalinya 'paklong' kami yang tersayang kepangkuan Penciptanya. Al'fatihah... semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman...

Arwah paklong meninggal dirumah anak perempuan sulung nya di Ipoh, arwah punya sepasang anak, Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan sangat tenang, masih dalam berwuduk, hajat hatinya ingin menunaikan solat Isyak' sebelumnya tidak kesampaian, menurut maklong, arwah cuma mengadu letih, sering menyebut nama anak keduanya, ya mungkit hajat hati seorang ayah untuk menatap wajah anak kesayangan sebelum berangkat pergi, tapi tidak kesampaian.

Beliau sangat istimewa pada kami semua, orangnya tenang, bila berbicara pun lembut, malah dialah sebagai ketua majlis mewakili ayah dan mak mertua waktu rombongan suami datang meminang saya dahulu. tak sempat arwah melihat majlis cucunya yang bakal berlansung Jun ini. semua telah Allah aturkan, yang baik kita harapkan, yang terbaik Allah tentukan.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang arwah.

yang saya ingin sentuh disini tentang sikap kita apabila menghadiri atau berziarah kerumah orang meniggal. saya tak pastilah samada kita sedar atau sengaja, sebab bagi kita ianya tak berapa penting, banyak dari adap berziarah yang telah kita tinggalkan.

Apa yang saya perhati, buka perkara baru berlaku, dimana-mana pun hampi sama sahaja, kita datang, salam lebih kurang dengan tuan rumah, ucap sikit takziah, kemudian kita duduk berlonggok, yang membaca yasin dan surah qurah, alhamdulillah, tapi yang paling menyedihkan, bila kita boleh berbual- bual hal yang jauh menyempang dari sepatutnya.

Sudahlah yang kita bualkan itu berkaitan dunia, tak mengapalah, apa lagi yang boleh kita bual kalau dah lama2, sedekahkan yasin sudah, tapi kawallah sedikit suara kita, rendahkan tawa kita, kita hormatkan tuan rumah dan ahli keluarga simati. Ini tidak, kala berbual suara sudahlah kuat, yang terlebih, siap bergurau senda pun ada, boleh sampai ketawa, gelibetul hati kita ya, lupa pula kita, bukan ke kita kat rumah yang ada kematian, bukan kenduri kawin ni.

paling mendukacitakan bila kita masih sempat mengumpat!!

macam hari saya balik rumah mak(mertua) hari tu,saya demam, memang bergoyang dunia ni masa berjalan, jadi saya tak mampu nak tolong apa pun, saya cuma duduk, saya bersandar didinding, di tepi, anak saya yang sama-sama demam, kami dua beranak duduk dikelilingi jiran taulan yang berziarah sama.

masa tulah terdengar sok sek pok pek mereka berbual.. dari hal diri sendiri, hal kawan lawan berbual, kemudian melarat pula kepada hal orang lain, saya dah kurang selesa, nak kutegur karang, jadi tak sedap. bukan budak- budah hingusan, orang tua yang rata-rata tunggu turn 'next' selepas yang terbujur kaku didepan tu.

Tapi topik yang tadi nya biasa-biasa dah bawak masuk topik mengata pula. kisah orang tu, cerita orang ini. saya yang kononnya dari tadi bersandar dengan mata yang terpejap. Rasa kurang selesa, lalu bangun kedapur, kononnya niat dihati nak minum air dan tak nak lah dengar hal-hal tida berkaitan.

Emm.. kat dapur ada lagi satu group makcik-makcik, sedang berlonggok mengadap meja makan, yang sedang makan nasi lemak ada, kunyak apam pun ada, eh, mengadap mangkuk karipap pun ada gak,sambil mulut penuh makanan, sambil tu juga mulut yang sama bercerita, rancak juga,. saya lalu disebelah, untuk mencapai sepotong kuih, yang ini rupanya sama rancak bercerita hal orang, malah ada sesi mengata pula.. orang kalau dari negeri %^$*( tak baik, jahat, brok bek sok sek...

lah, apa da jadi ni??

Kenapa kita jadi begini, apa tidakkah kita lihat yang terbujur kaku diluar itu seorang dari kita juga dahulunya, kita selalu ingat, kita ni lambat lagi. tak pun bukan kita yang meninggal. betullah, tapi tidak kah kita mengambil iktibar bahawa, pada satu saat dan ketika nanti kita juga bakal kembali. senang kata, kan mati juga.

Bukan susah sangat nak lahirkan keinsafan ni, pergi tenguk jenazah tu, bayangkan muka yang meninggal tu muka kita. bayangkan yang datang ramai-ramai ni, ibarat menziarah diri kita yang dah kaku tu, bayangkan waktu dimandi dan dikafankan tu kita. lepas tu disembahyangkan buat kali terakhir tu kita, bayangkan yang diletak atas pengusung dan dibawa keluar itu kita, itulah kali terakhir kita dibawa keluar dan tak akan kembali lagi.. bayangkan.

Apa yang kita bawa? apa yang kita tinggalkan? apa yang mengikut kita? apa yang menjaga kita di'rumah' baru nanti? bayangkanlah. boleh tak bayangkan yang itulah hari terakhir kita didunia ni..

Rasanya kalau kita betul- betul membayangkan dengan bersungguh, tentu kita akan berlembut hati. kita faham kita di rumah orang meninggal, kita akan hormat dengan tuan rumah, dengan keluarga arwah, sebab tentu kita tidak mahu kalau waktu jenazah kita yang terbujur tu, orang datang dah buat perkara sebagaimana kita lalukan, mengumpat mengata, mencerca, walau bukan kepada simati, sepatutnya kita banyakan berselawat dan beristiqfar.

Semoga kita sam-sama menyedari bahawa kematian itu tidak datang dengan 'temujanji' yang ditetapkan kita, tapi dengan temujanji yang telah ditetapkan Allah sejak azali. waima kita sedar atau tidak detik itu semakin menghampiri. jadi sentiasalah kita bersedia untuk satu perjalanan pulang yang pasti.