SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: April 2009

Wednesday, April 29, 2009

KALAULAH BOLEH AKU BUNUH !!!!

ini salah satu peragut yang dapat ditahan, buat kerja dekat masjid putih Terengganu, mujur tak mati kena belasah. apasal nak tutup muka plak ye..apa nak malu? masa buat tak fikir malu, kena tangkap malu.. bodoh!!!
BAGAI NAK MENJERIT!!!!
ITULAH.. itulah perasaan aku kala membaca surat khabar metro muka depan, gambar seorang anak kecil meraung kerana ibunya meninggal dunia asbab menjadi mangsa RAGUT manusia bangsat yang tak ada perasaan.

suami pun meluap-luap marahnya, sepatah kata suami... "KALAULAH BOLEH AKU BUNUH! AKU CANTAS MACAM CANTAS POKOK JE BEBUDAK PUAKA NI!!! Astaqfirullah, undang-undang ada pun tak siapa peduli, kita berdoa jelah mi, moga kelurga arwah ni semua ALLAH lindungi, selamatkan akidah anak-anak yang tinggal dan mudahkan perjalanan hidup mereka"..

tapi...
itu saja ke yang boleh kita buat?
Apa tak ada ke satu cara nak 'musnahkan' virus paling ganas ni, kalau tak mampu musnah semua, lumpuhkan ke..

betullah berita-berita seperti ini boleh membuatkan darah naik tinggi, jantung jadi laju, kepala berat, hati panas, tangan menggigil peluh mengalir, mata berair. sebijik macam wabak, kalau hari ni dah mula esok lusa berturut-turut, cerita, tragis sungguhlah, bila baca kisah seperti ini, bukan banyak mana dapatnya pun. palingmalang ibu di Kota Bharu, kerana RM2!!

malang ibu itu, nilai nyawanya hanya RM2!! diragut iblis tak berguna, paling malang anak-anak yang berlima, sudahlah orang susah, lepas ini BERGANDA SUSAH mereka.

namun, harapan kita semua moga akan bertemu jalan dan cara untuk membenteras mereka ini. ALLAH Maha Adil lagi Maha Penyayang, pasti tidak sia-sia pengorbanan ibu-ibu malang tersebut, ALLAH akan bayar 'cash' pada tiap perbuatan mengainaya seperti ini.

cuma harapan saya, adalah pihak-pihak yang tidak membiarkan dan membela serta prihatin keatas keluarga mangsa yang tinggal. terutama dari segi persekolahan dan kemudahan anak-anak yatim ini..

Allah, kau cucurilah Rahmat Mu, keatas hamba-hamba Mu yang terainaya, Kau berilah pembalasan yang setimpal kepada manusia yang durjana, Kau bela lah akan nasib anak-anak yatim yang tidak berdaya, Kau tabahkan hati mereka, Kau cekallah jiwa mereka Ya Allah, Kau tingkatkan Iman mereka. semoga mereka semua dapat merubah nasib mereka kepada yang lebih baik dimasa depan.. amin ya rabbal'alamin



Tuesday, April 28, 2009

SERBA TAK KENA


Apa dah jadi ? serba serbi tak kena, sejak aku mula nak menulis semula.. aku rasa canggung sangat, rentak aku tah apa-apa, rasanya lagu aku tak kena dengan tempo, tak sedap lansung. Sejak aku letak 'pensil' aku dah tak pandai nak menulis, dulu pantang aku bercakap dengan diri aku.. "hari ni nak tulis apa yek?" idea akan datang untuk aku mulakan tajuk dan mulalah jari jemari aku mengatuk-ngatuk keyboard ini untuk menjadikan bait-bait ayat, bukanlah ayat puitis, tapi kiranya lancar jualah isi yang ingin diutarakan..

Tapi, sejak aku berdepan krisis hidup...mood menulis aku turun 100%. aku tak mampu lagi menyalakan mentol atas kepala ku.. puas aku cuba, tak juga menjadi.. aku cuba buat blog ini selepas blog aku yang asal 3 tahun dulu tidak aku jenguk-jenguk.. aku pun dah lupa kata laluan dan nickname yang aku gunakan..

Aku sangat bersyukur sebenarnya, dari mula aku menulis, suamilah yang paling beri galakan, dia selalu membebel, suruh aku mengasah bakat dengan betul, menulis, tulislah apa yang aku mahu, selagi aku mampu, mungkin aku boleh berdakwah dalam tulisan, atau melontarkan sedikit nasihat atau berkongsi pengalaman. berpuluh kali dia menggalakkan, aku tetap terbantut, tah apa lagi yang tak kena..

ya betul juga barangkali, ada lagi yang tidak lepas atau jelas dalam diri.. lalu aku masih tersangkut disini. Di daerah kelu dan keliru. Aku katakan pada diri, aku seorang yang positif dan ceria.. tapi aku tahu masih ada sesuatu yang menghijab hati.. ada kalanya aku merasakan satu ketenangan yang tidak bertepi.. apa punlah yang terjadi,ada ribut ke, ada orang marah ke, apa jelah yang tak kena pun, aku masih mampu tersenyum ceria..

Tapi hari ini, perasaan serba tak kena itu datang lagi, menerjah dan mengetuk-ngetuk pintu qalbu, ingin mengganggu dan menghuni sekeping daging tidak bertulang itu, yang nantinya mampu mempengaruhi sekujur jasad ini merasa resah dan gelisah..aku tepis perasaan itu, aku kuak jendela fitah ku sebagai hamba.. mungkin ada yang tidak sempurna, ada yang aku terleka dimana-mana..bukankah Allah sentiasa menjaga hambanya, jadi untuk apa aku melayani keresahan hati?
kala suami pulang dari masjid,salamnya kusambut tidak seceria biasa, "eh, apasal tebal kerut di wajah mi?" "entahlah, tapi hati tak berapa aman" " banyakkan zikrullah, kan Ummi selalu pesan gitu kat kami, Ummi sendiri buat tak ni?"..aku senyum kelat..."ya buat".. "tapi mungkin tak sampai kot mi?" " ya, mungkin juga"... bahuku ditepuk-tepuk suami, tapi aku tetap tidak terhibur sebagaimana selalu.
Benarlah agaknya telahan suami, aku cuma zikir dibibir, hati tidak terasa nikmatnya.. lalu aku akur, seusai menung dijendela, aku bangun ke bilik air..sejuk air paip itu, aku berwuduk, kali ini benar2 ada sentuhan, air mata ku mengalir dipipi.. aku tersentuh, betapa kerdilnya aku ini.
Tapi itulah dia...pabila kita diuji, itulah masa kita merapatkan diri, kita ada cara untuk menghilangkannya,bacalah Quran, bukankah Al Quran itu penawar kepada jiwa, carilah Allah, mengadulah kepadanya.. hanya itu yang aku lakukan, Alhamdulillah, jika aku ingin menangis atau tertawa, inilah tempat yang sebenarnya harus dituju.

Kepada suami dan anak yang sangat aku sayang dan cintai..
terima kasih kerana sentiasa berada disisi..
menyayangi dan mengasihi...
menerima dan memberi..
hanya kerana dia Rabbul'izati..






Friday, April 24, 2009

KEMATIAN... TIDAK KAH ITU MENGINSAFKAN

* gambar ini sekadar hiasan semata-mata. bukan dari kalangan ahli keluarga kami yang telah meninggal dunia tersebut..

Minggu lepas, dalam demam, kami menerima berita sedih, kembalinya 'paklong' kami yang tersayang kepangkuan Penciptanya. Al'fatihah... semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman...

Arwah paklong meninggal dirumah anak perempuan sulung nya di Ipoh, arwah punya sepasang anak, Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan sangat tenang, masih dalam berwuduk, hajat hatinya ingin menunaikan solat Isyak' sebelumnya tidak kesampaian, menurut maklong, arwah cuma mengadu letih, sering menyebut nama anak keduanya, ya mungkit hajat hati seorang ayah untuk menatap wajah anak kesayangan sebelum berangkat pergi, tapi tidak kesampaian.

Beliau sangat istimewa pada kami semua, orangnya tenang, bila berbicara pun lembut, malah dialah sebagai ketua majlis mewakili ayah dan mak mertua waktu rombongan suami datang meminang saya dahulu. tak sempat arwah melihat majlis cucunya yang bakal berlansung Jun ini. semua telah Allah aturkan, yang baik kita harapkan, yang terbaik Allah tentukan.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang arwah.

yang saya ingin sentuh disini tentang sikap kita apabila menghadiri atau berziarah kerumah orang meniggal. saya tak pastilah samada kita sedar atau sengaja, sebab bagi kita ianya tak berapa penting, banyak dari adap berziarah yang telah kita tinggalkan.

Apa yang saya perhati, buka perkara baru berlaku, dimana-mana pun hampi sama sahaja, kita datang, salam lebih kurang dengan tuan rumah, ucap sikit takziah, kemudian kita duduk berlonggok, yang membaca yasin dan surah qurah, alhamdulillah, tapi yang paling menyedihkan, bila kita boleh berbual- bual hal yang jauh menyempang dari sepatutnya.

Sudahlah yang kita bualkan itu berkaitan dunia, tak mengapalah, apa lagi yang boleh kita bual kalau dah lama2, sedekahkan yasin sudah, tapi kawallah sedikit suara kita, rendahkan tawa kita, kita hormatkan tuan rumah dan ahli keluarga simati. Ini tidak, kala berbual suara sudahlah kuat, yang terlebih, siap bergurau senda pun ada, boleh sampai ketawa, gelibetul hati kita ya, lupa pula kita, bukan ke kita kat rumah yang ada kematian, bukan kenduri kawin ni.

paling mendukacitakan bila kita masih sempat mengumpat!!

macam hari saya balik rumah mak(mertua) hari tu,saya demam, memang bergoyang dunia ni masa berjalan, jadi saya tak mampu nak tolong apa pun, saya cuma duduk, saya bersandar didinding, di tepi, anak saya yang sama-sama demam, kami dua beranak duduk dikelilingi jiran taulan yang berziarah sama.

masa tulah terdengar sok sek pok pek mereka berbual.. dari hal diri sendiri, hal kawan lawan berbual, kemudian melarat pula kepada hal orang lain, saya dah kurang selesa, nak kutegur karang, jadi tak sedap. bukan budak- budah hingusan, orang tua yang rata-rata tunggu turn 'next' selepas yang terbujur kaku didepan tu.

Tapi topik yang tadi nya biasa-biasa dah bawak masuk topik mengata pula. kisah orang tu, cerita orang ini. saya yang kononnya dari tadi bersandar dengan mata yang terpejap. Rasa kurang selesa, lalu bangun kedapur, kononnya niat dihati nak minum air dan tak nak lah dengar hal-hal tida berkaitan.

Emm.. kat dapur ada lagi satu group makcik-makcik, sedang berlonggok mengadap meja makan, yang sedang makan nasi lemak ada, kunyak apam pun ada, eh, mengadap mangkuk karipap pun ada gak,sambil mulut penuh makanan, sambil tu juga mulut yang sama bercerita, rancak juga,. saya lalu disebelah, untuk mencapai sepotong kuih, yang ini rupanya sama rancak bercerita hal orang, malah ada sesi mengata pula.. orang kalau dari negeri %^$*( tak baik, jahat, brok bek sok sek...

lah, apa da jadi ni??

Kenapa kita jadi begini, apa tidakkah kita lihat yang terbujur kaku diluar itu seorang dari kita juga dahulunya, kita selalu ingat, kita ni lambat lagi. tak pun bukan kita yang meninggal. betullah, tapi tidak kah kita mengambil iktibar bahawa, pada satu saat dan ketika nanti kita juga bakal kembali. senang kata, kan mati juga.

Bukan susah sangat nak lahirkan keinsafan ni, pergi tenguk jenazah tu, bayangkan muka yang meninggal tu muka kita. bayangkan yang datang ramai-ramai ni, ibarat menziarah diri kita yang dah kaku tu, bayangkan waktu dimandi dan dikafankan tu kita. lepas tu disembahyangkan buat kali terakhir tu kita, bayangkan yang diletak atas pengusung dan dibawa keluar itu kita, itulah kali terakhir kita dibawa keluar dan tak akan kembali lagi.. bayangkan.

Apa yang kita bawa? apa yang kita tinggalkan? apa yang mengikut kita? apa yang menjaga kita di'rumah' baru nanti? bayangkanlah. boleh tak bayangkan yang itulah hari terakhir kita didunia ni..

Rasanya kalau kita betul- betul membayangkan dengan bersungguh, tentu kita akan berlembut hati. kita faham kita di rumah orang meninggal, kita akan hormat dengan tuan rumah, dengan keluarga arwah, sebab tentu kita tidak mahu kalau waktu jenazah kita yang terbujur tu, orang datang dah buat perkara sebagaimana kita lalukan, mengumpat mengata, mencerca, walau bukan kepada simati, sepatutnya kita banyakan berselawat dan beristiqfar.

Semoga kita sam-sama menyedari bahawa kematian itu tidak datang dengan 'temujanji' yang ditetapkan kita, tapi dengan temujanji yang telah ditetapkan Allah sejak azali. waima kita sedar atau tidak detik itu semakin menghampiri. jadi sentiasalah kita bersedia untuk satu perjalanan pulang yang pasti.

DEMAM Pula..


Lah,.. lamanya tak masuk blog,..

demam, sekarang ni musim demam, anak saya, anak-anak sedara, emak ayahnya, semua 'tumbang'... hanya kerana dikerjakan dek beribu-ribu 'virus' kecil yang tak nampak.. sedangkan sebesar dan sekasar tubuh fizikal kita manusia ini.. boleh alah jua kita dengan tah apa ke namanya virus yang punya nama pelik-pelik tu...


begitulah hebat kekuasaan Allah, bila ia mengkehendaki..
datangnya sakit dari ALLAH sebagai peringatan juga penghapus dosa. Sakit itu ujian, waktu rehat juga waktu merenung .. apa yang kita dah terlebih makan atau terkurang makan atau terlebih bekerja, maka berehatlah..emm..
semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita dan meningkatkan lagi kecintaan kita kepada NYA..

amin..


Wednesday, April 8, 2009

BERSEDEKAH? ATAU BUANG SAMPAH?


Sedekah? semua orang tahu pasal sedekah, juga ramai yang suka bersedekah, malah kengkadang tu.. sikit-sikit kita dengar "tak apa aku sedekah" sikit-sikit "alah kira sedekah jelah"..

Saya masih ingin bercerita tentang sedekah, asbab banyak kesilapan yang kita buat tanpa kita sedar, atau barangkalai sedar tapi ambil remeh...

Ada tikanya, kita tidak betul menghayati fadilat bersedekah, lalu bersedekahlah kita alah kadar, ada kalanya mungkin kita tidak berniat untuk menunjuk atau riak, tapi tanpa sengaja kita telah pun melakukannya. semoga Allah Swt membetulkan nawaitu kita dan mengampunkan dosa kita.
Ketika lain pula kita bersedekah barangan atau benda, kadangkala kita boleh lihat, samada kita benar berniat sedekah atau ingin membuang barang lama sebenarnya. asbab saya pernah melihat sedekah yang diberi tidak layak dipanggil sedekah, mungkin juga kita tidak sengaja, tapi sering yang menerima sedekah adalah orang yang tidak bernasib lebih baik dari kita, justeru mereka ini lebih sensetif dari biasa.,

andai ada yang bersedekah baju misalannya, biarlah yang diberikan itu masih boleh dipakai, bukan yang sudah seperti kain sal (buruk) kita kata kita bersedekah. Jangan dihina (secara tidak atau sengaja) perasaan mereka ini. betul mereka tidak mampu, tapi apakah kain koyak, terbakar kerana menggosok, zip rosak, tengkuk baju sudah berbulu, bertompok dengan kesan makanan, butang hilang, jahitan terbuka...kita kata sedekah??

kalau kita sendiri sudah tidak mahu memakainya apatah lagi orang lain.

kalau makanan pun begitu juga, berilah yang terbaik, yang mana ia 'lazat' ditekak kita, maka yang itu juga kita sedekahkan kepada orang, janganlah berkira nikmat, sedapnya hanya sampai ketengkorok, jatuh saje keperut ia tidak dikira apa lagi.

kalau buah berilah yang masih mengkal, jangan yang benyek dan berbau atau sudah berair, kalau lauk berilah isi bukan tulang atau yang dah nak basi.. beri sedekah ibarat kita memberi kepada diri sendiri, bagaimana istimewa layanan kita kepada diri kita, begitulah kepada 'saudara' kita, apatah lagi mereka yang dalam kekurangan.
mereka bukan tempat kita 'membuang sampah'. bersedekah bukan sekadar kerana nak bersedekah, nak pahala, tapi bersedekahlah dengan sifat Allah, Ar'Rahman dan Ar'Rahim yg Maha Pemurah, Maha Pengasih... bayangkan kalau kita dibuat orang seperti pap yang kita lakukan...tentu kita juga akan terasa

Ingatan kepada diri sendiri, andai kita ingin membuat kebaikan, biarlah kebaikan itu mengundang kepada kebaikan yang lain pula. seperti mata tangga, kita melangkah dari satu aras paling bawah membawa keatas, bukan seperti menuruni curam, yang kadangkala menyebabkan kita tersungkur sakit.

orang yang menerima sedekah akan berterima kasih kepada kita, lalu akan mendoakan kesejahteraan kita, doa orang yang susah ini seringkali tiada hijab doa mereka, Insya'Allah akan dimakbulkan. tidakkah kita inginkan tiap kebaikan yang kita buat sekali, tapi berganda berkali kali?

silapnya kita kadangkala, menyebabkan kita berdosa dan sipenerima juga berdosa.. manakan tidak, sudahlah benda yang buruk yang kononnya kita bersedekah, diterima oleh orang, mengecilkan hatinya lalu takkala mereka bersunggut tidak puashati, ibarat mereka tidak mensyukuri nikmat Allah beri, sedangkan sedekah itu juga sebahagian dari 'rezeki' mereka. kenapa kita boleh tergamak buat begitu? tak sengaja? berhati-hatilah.. jangan buat kita dan orang lain berdosa.


emmm... tak perlulah saya membebel panjang, kita semua cukup akal dan fikiran yang Allah bekalkan, terserah dan terpulanglah cara mana untuk kita mencapai redha Allah dalam hidup .

kalau kita menghayati bahawa setiap perbuatan itu ibadah, tentu kita berebut-rebut membuatnya dengan ikhlas. tapi bukan mudah untuk kita menghukum, saya juga tidak menyalah kan sesiapa, sekadar berbicara meluahkan rasa,tepuk dada tanya iman kita.
Jadi 'pause' sebentar nawaitu bersedekah, perhatilah betul-betul.. layakkah itu kita kata bersedekah atau sebenarnya kita hendak buang sampah...

BENARKAH UJIAN ITU NIKMAT?

Assalamu'alaimu bwt....

telah lama saya ingin kembali menulis.
asalanya saya tidak terfikir pun nak menulis, tapi sejak pertama kali menghantar posting ke satu forum, disitulah saya mengasah bakat menulis.. lama dulu sekitar 2004, seronok rupanya bila kita dapat berbicara bisu begini dan disahut sambut orang yang tidak kita kenali rupa dan karektornya...

bertingkah idea atau pandangan itu biasa, hati tidak perlu menyimpan lembaran duka, atau terguris rasa, kerana kita semua punya hak untuk bersuara atau berbicara, cuma menjaga tatasusila bahasa dan adap sebagai makhluk berakal diberi Tuhan, itu yang utama...

Begitu seronoknya saya bila idea dan pandangan diterima, disapa mesra oleh teman maya yang tidak pernah bersua rupa, berjabat mesra. tapi hati tetap berbunga gembira dan bersyukur kerana mampu membantu walau hanya dari bait kata kata.. semangat dan harapan orang berbunga indah, semangat dan harapan saya juga bercambah cambah...

pun, hidup ini satu kembara yang penuh misteri, saatnya pula saya melalui lorong suram, pasti itu memerlukan tumpuan yang tinggi.. lalu, 'pensil' saya tumpul dan idea saya tinggal sejemput..
lama saya tidak mengasah jemari diatas keyboard.

"demi sesungguhnya akan kam uji kamu dengan suatu (cobaan), iaitu ketakutan,kelaparan, kekurangan harta, manusia dan buah2an. dan berilah khabar gembira kepada orang2 yang sabar atas cobaan itu" - al baqarah155

Ya, senang hati saya, munkin itu lah teguran Allah kepada kami, asbab DIA menyayangi maka diberikan peringatan kepada kita. syukur sangat- sangat, kalau dibiarnya kita terus tenggelam, nau'zubillah, biarlah sedikit ujian kecil ini menimpa, biarlah menangis sekejap untuk dunia, tapi dengan kesedihan itu rupanya satu isyarat untuk kita semakin merasai nikmatnya berbicara bersama sang 'Pencipta' Hari ini, walau lorong ujian ini masih jua saya lalui dan tempuhi, tapi kekuatan diri semakin berani, jiwa ini semakin terisi dengan semangat yang dititip Ilahi.

Hari ini, saya ingin kembali, mengisi ruang dan memberi peluang kepada diri, mensyukuri segala anugerah yang diberi, menikmati ujian yang semakin mendekatkan kami kepada Rabbul'Izatti

seindah warna pelangi, begitulah harapan kembara hidup kita nanti...

Tuesday, April 7, 2009

KITA ADALAH APA YANG KITA BACA


selalunya kalau ada kelapangan, tiap malam sebelum tidur saya akan bercerita dengan anak, kalau orang lain mungkin baca buku cerita omputih, tapi saya lebih suka pilih kisah kisah rasul atau sahabat, kisah haiwan yang beriman.

bukan tak suka baca buku 'far far away...' :D tapi bagi saya buku semacam itu sudah sangat banyak, sangat mudah didapati. kalau tak bacakan, dia sendiri pun sudah pasti boleh mendapatkannya. malah sekarang dia sendiri pun pandai mencari

Tapi kisah rasul dan berteraskan islam/agama, memang jarang kita buat sebagai santapan rohani anak anak. Tak pula saya maksudkan tak ada lansung ibuayah yang melakukannya, tapi rata rata dalam 10 mungkin 1.

Walhal sekarang banyak sudah penerbitan yang berteraskan islam.. jutaan terima kasih kepada Telaga Biru (terbaru SOLUSI sangat patut jadi bahan bacaan), Geleri Ilmu, ( ANIS /ASUH) Blue-T Publication (ANA-MUSLIM) Darul Nu'Man, Jasmin Enterprise Saba Islamic Media dan banyak lagi yg tak tersebut disini, atas usaha keras mereka untuk memartabatkan ISLAM dalam pembacaan.

Patutkan buku buku mereka sebaiknya menjadi salah satu buku wajib beli setiap bulan, alahai... kalau majalah untuk wanita, utk dapur, utk taman, utk sukan kita sanggup langgan setiap bulan, apasal ya.. payah benar nak langgan buku, majalah untuk akhirat setiap bulan, nak kata bacaan nye berat.. tak juga,., santai sangat membacanya..

Mungkin juga pasal minat.. ya.. kalau kita tak ada minat tentang bahan bacaan begini.. memang tak boleh nak buat apalah. pasal kita dah terlampau banyak sangat disogok keindahan dunia, keseronokkan yang rugi kalau dilepaskan..

Ni nak kena pula baca pasal.. halal haram, pasal mati, pasal dosa pahala.. fuh potong stim je...

Tapi itulah yang sebaiknya kita terapkan dalam rumah. Dulu samalah saya.. tiap bulan beli
majalah utk wanita.. dekor.. bila mengandung je.. minat saya berubah.. syukur, Allah bagi saya kesedaran, perlahan lahan saya merubah rutin dan minat, saya berhenti membeli majalah lalu beranjak kepada buku motivasi dan keagamaan, majalah pertama saya ANIS.. buku pertama saya Quran dengan terjemahan.. kalau dulu baca Quran B A C A je.. lah ni saya baca makna..

Bukankah Quran itu penawar dan penenang hati..mana-mana surah yang ada 'doa' didalamnya saya highlightkan, saya tandakan dengan post it note, berkaler-kaler, semakin lama saya semakin ketagih.. seronok.. betul betul seronok yang tidak boleh digambarkan kalau kita sendiri tidak merasakannya.

Cubalah, Insya'Allah, rakan-rakan akan faham, keseronokkan itu lebih dihayati jika kita berjaya , melembutkan hati kita dan membuka mata mengakui kesilapan diri...
seronoknya saya,..sungguh

kini keseronokkan ini ingin saya sambungkan kepada anak saya, saya mahu ia menjadi tradisi kami sekeluarga, memilih dan menapis bahan bacaan dan semaian ini haruslah saya mulakkan dari anak saya, supaya dia juga Insya'Allah, tahu membuat pilihan bacaannya bukan sekadar cinta dunia, akhirat itu lebih utama....

Saya rasa kita boleh cipta satu perpatah baru.. KITA ADALAH APA YANG KITA BACA...seperti sabda Rasulullah, jika kita berkawan dengan penjual minak wangi, kita jua tak secara lansung berbau harum, begitu juga kalau berkawan dengan si pencuri. Akhirnya kita akan menceburi juga profesion tak berakhlak itu.

Begitulah jua kalau kita memilih bacaan kita, kalau yang dipilih sekadar hiburan dunia, gosip artis, fesyen, cuba kita lihat orang itu, dia cenderong sebagaimana buku yang dibacanya, bila berbual, suka bercerita tentang artis, sok sek tu sok sek ni.. kalau fesyen pula.. asal tengahari waktu keluar makan, dia akan ke mall mencari potongan terbaru untuk dibeli memenuhi almari.

Ini bukan tuduhan melulu, KERANA SAYA DULU PUN BEGITU, hiss hisss.. malah saya pernah bekerja, dan punya teman-teman seperti ini, kengkadang tersenyum sumbing saya melihat sipolan sarat pulangnya dengan baju, kasut, pasu bunga, lampu, semua seperti yang terdapat dalam majalah keluaran terbaru yang mempromosikan 'indahnya dunia'. apatah lagi ada yang sempat

Belum ada yang boleh bawa balik taman-taman syurga, telaga kausar, pahala, berbag-bag... hihihi.. sebab benda ni semua tak dapat nak menghiasi fizikal secara zahir. lagipula tak nampak dek mata dan tak terasa benar nikmat kepuasan memilikinya dihati.

itu kalau majalah tentang fesyen terbaru, dekorasi terkini,.. paling menakutkan kalau yang bahan bacaannya berunsurkan 'blue'. semakit berkarat dan bernanahlah nafsu yang sentiasa diransang tapi tidak dapat dilempiaskan dengan betul, kalau dah kawin, ampun lagi. kalau yang bujang?, sebab itulah maksiat macam rumput tepi jalan,boleh terjadi dimana dan bila masa pun. sebab nafsu tidak dibendung, ditambah bula bahan prono yang menjadi santapan mata jiwa.

jadi kalau ingin terasa angin perubahan nya, ubahlah juga sediikit demi sedikit apa yang kita baca, bukan bererti ditinggalkan terus minat kita, tapi tambahlah jenis koleksi bacaan kita, sebab buku juga adalah sahabat baik kita yang boleh mempengaruhi sahsiah kita tanpa kita sedari..

Kalau kita tidak mulakan sampai bila kita tidak akan berubah, mulakanlah, sedikit-sedikit tapi istiqamah, Insya'Allah, sampai masanya, kita akan sedar kepentingan mencari akhirat akan mengatasi nikmat 'memakai' dunia yang sementara ini,.






Monday, April 6, 2009

DAH MISKIN PUN KENA BAGI SEDEKAH KE?


Ummi, kalau miskin pun kita kena bagi sedekah ke?"

tu yang ditanya Nur Jannatul masa saya kata, kalau miskin sekali pun kena kena banyakkan bersedekah...

kompius sidara kecik ku ini agaknya...

macam biasa itu sesi tazkirah kami sebelum tido.. setiap malam saya akan bercerita kepadanya, terutama kisah-kisah nabi, atau kisah kisah berkaitan amalan kta sebagai 'orang islam', mengapa kita istimewa lain dari orang lain, walaupun kita sama je rupanya, lain sikit lebih kurang, tapi kenapa 'umat Muhammad SAW ' ini lebih hebat.

"ya, mesti, walau pun bersedekah tu yang biasanya orang tahu kita bagi duit... bagi makanan, atau apa-apa yang biasanya kita nampak dengan mata, tapi ada lagi sedekah yang orang jarang buat, mungkin sebab tak tahu atau terlepas pandang"

"camne tu tak pahamlah mi" dengan muka berkerut kerut

saya tersenyum " ingat tak senyum itu sedekah?"

"ha, senyum ok, nak sedekah senyum je ke?"

"tak, ada lain... doa.."

"camne nak sedekah doa mi, kita tak nampak, orang yang kita nak bagi tu pun tak nampak, camne?" bising mulutnya sambil bangun dari pembaringan, agaknya dia rasa serius kot.

jadi saya pun ikut duduk disisi.

"gini...kalau kita ada banyak duit atau barang-barang, kita bolehlah bersedekah barang atau duit kita tu, tapi macam ummi kata tadi, kalau kita miskin, ada duit tapi tak cukup, ada barang pun nak guna sendiri pun tak juga cukup..so camne kita nak dapat pahala bersedekah, betul tak,?"

dia angguk tapi masih berkerut...

"jadi kita bersedekahlah dengan doa kita, contoh katakan kawan kita sakit... kia sedih tenguk dia, kita doakan dia, bacakan al'fatihah, sedekah kat kawan kita. mohon pada Allah semoga kawan kita cepat sembuh, jadi walau kita tak bagi bantuan dalam bentuk duit ke ubat ke.. kita dah dapat juga pahala sebab sedekahkan doa untuk dia"

"tapi pastu,kita dapat pahalalah ye, dia dapat apa mi? doa je ke?"

"ya kita dapat lebih dari pahala, dia pun dapat juga,doa tu kalau Allah makhbulkan, lebih cepatlah dia sembuh"

"oh... macam yang ummi selalu kata lepas solat baca Fatihah, sedekah pada nabi tu?"

"ya, tapi pada Rasulullah kita tak sedekah nak, kita hadiahkan kepada baginda, kerana rasulullah lebih tinggi kedudukan dia disisi Allah, baginda bukan terima sedekah, tapi kita beri hadiah Fatihan, ingat tak hadis Rasulullah yang kata kalau kita selawat apa kita dapat"

"oh yang nanti Allah hapuskan 10 dosa, pastu bagi 10 kebaikan, pastu angkat 10 darjat tu ya mi.. tapi darjat tu apa plak?

"ginilah darjat kita sambung malam esok boleh, dah kul 10.30 esok sekolah, tidur dulu, cukup malam ni"

"oklah..meh kita nak peluk ummi, muah..muah (di cium pipi ku kiri kanan) "

"muah." aku cium dahinya,.. ingat baca apa sebelum tido?

"ya mi,. bye"...

gitulah, bila bercerita bab bersedekah ni, panjang rasanya nak bercerita.. sebab sedekah ni paling senang bila kita sebut, bab bagi duit, bagi barang-barang, tu kira dah sedekah dah tu. Tak apalah juga, tapi masih banyak kesilapan yang kita buat semasa ingin menjayakan sedekah.

bersedekahlah kerana ia membuka pintu-pintu rezeki,menghapus dosa, menghalang bencana, membersihkan jiwa,jika tidak dengan hartamu,bersedekahlah dengan doamu... kerana ALLAH itu lebih tahu keikhlasan mu...