SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: Sahabat dan Dinding Ajaibnya

Saturday, June 4, 2011

Sahabat dan Dinding Ajaibnya


Ada waktu, kita berkenalan dan berteman dengan orang, sekadar keperluan, ada waktu kerana urusan tertentu, yang menjadi asbab untuk kita terus berhubungan, ada masa, kita terlupa bahawa kenalan yang seketika mampu merubah kita menilai erti hidup dan kehidupan......

Pian dan Eman ditempatkan di dalam bilik wad yang sama. Kedua-duanya sudah bertahun -tahun menderita penyakit serius yang tak ada harapan untuk sembuh.

Sepanjang waktu mereka hanya terbaring di katil memandang siling. Namun nasib Pian baik sedikit apabila setiap hari dia berpeluang duduk bersandar di katilnya. Setiap hari pada pukul 12.00 tgh, jururawat akan datang membantu Pian duduk. Ketika itu, doktor mudah menyedut air dari paru-parunya. Walaupun sakit tapi Pian menanti saat itu dengan gembira kerana ketika itulah dia dapat duduk dan memandang keluar tingkap.

Nasib Eman tidak sebaik Pian. Dia hanya mampu terbaring di atas tilam. Eman tidak ada peluang langsung untuk duduk. Tubuhnya tak berupaya lagi melakukan semua itu sekalipun dibantu. Sejak terlantar Eman sering bercerita mengenai kisah keluarga, rumah, pekerjaan dan keterlibatannya dalam perkhidmatan tentera. Juga percutian bersama keluarga.

Namun lain dengan Pian. Setiap hari Pian akan duduk dan memandang keluar tingkap sepuasnya, sementara jururawat berusaha mengeluarkan air dari paru-parunya. "kau tahu, hari ini cuaca cerah. tasik besar kat tengah-tangah taman tu airnya biru. banyak itik dan angsa berenang," beritahu Pian.

"Eh! Kasihan budak tu, bot mainannya tenggelam. Untung anak-anak sekarang, kapal mainan pun dan macam kapal betul. Dulu aku hanya buat daripada kertas," cerita Pian sambil ketawa.

Eman tersenyum mendengar cerita Pian.Matanya dipejamkan rapat-rapat dan membayangkan kanak-kanak sedang gelak ketawa berlumba bot. Kawanan itik dan angsa mematuk-matuk ikan di air. "Mmmmmmmmmmm! Indahnya di luar sana," Eman mengeluh kerana tidak berpeluang menikmati pemandangan yang diceritakan oleh Pian. Kenangan manis zaman kanak-kanak menyerbu fikirannya. Sambil tersenyum mendengar keluhan rakan sebilik.

Pian terus merenung tingkap. Kemudian dia meletakkan tanganya di dahi seperti orang menadah silau matahari.

"Ceritakan lagi Pian, apa yang kau nampak,"Eman tidak sabar untuk mendengar selanjutnya.

"Ada merpati dua sejoli sedang berpimpin tangan. Eeeeee, romantiknya. Bunga-bunga ros sedang mekar di tepi jalan. haaaa....di belakang sana aku nampak sebuah menara berlatar belakangkan langit biru," cerita Pian bersungguh-sungguh. Eman tersenyum puas. Dia tak dapat melihat tetapi dapat membayangkan betapa indahnya bunga yang sedang mekar.

Alangkah romantiknya pasangan kekasih berpimpin tangan. Selama satu jam itu Pian tak putus-putus bercerita tentang peristiwa yang berlaku di luar sana. Rawatan selesai Pian dibaringkan semula sehinggalah tengah hari esok. Pada suatu hari yang panas, Pian duduk merenung ke luar jendela sambil menjalani rawatan. Matanya bercahaya memerhati, kemudian dia menjengah ke kiri dan kanan lalu senyum.

"Hari ini ada apa di bawah tue , Pian?" tanya Eman.

"Ada perarakan kereta berhias penuh dengan bunga berwarna-warni. Perbarisan anggota tentera, pakaian beragam, kanak-kanak sekolah dan pancaragam," cerita Pian sambil tangannya dihayunkan untuk menunjukkan cara kanak-kanak sekolah itu memukul gendang.

 "Macam perarakan Hari Kebangsaan ke?" tanya Eman pula. Di ruang matanya terbayang warna-warni perbarisan hari Kebangsaan yang selalu dilihatnya di TV sebelum terlantar.

 "Isy....lebih cantik daripada itu," balas Pian.

Eman pejamkan mata dan cuba mendengar muzik pancaragam. Tapi telinganya tak dapa mendengar sebarang bunyi pun.

"Mungkin terlalu jauh agaknya," Eman berbisik sendirian.

Hari berlalu dan minggu bertukar. Suatu pagi, seperti biasa seorang jururwat datang membawa sebesen air mandian ke bilik Eman dan Pian seperti hari-hari biasa.

"Selamat pagi Pak Cik Pian," jururawat yang biasa datang untuk mengelap badan Pian. Biasanya apabila dengar pintu dibuka Pian sudah tersenyum kemudian dengan ramah dia akan bertanya khabar jururawat itu.

Tapi pagi itu Pian masih tidur. "Pak cik," panggil jururawat sambil menyelak selimut Pian apabila tidak ada jawapan. Kemudian dia perhatikan pesakit tua itu tidak bergerak dan dadanya tidak lagi berombak seperti selalu. Jururawat bertugas memeriksa nadi Pian, tidak ada denyutan. Kaki dan tangan Pian juga sejuk. Dalam keadaan kelam-kabut jururawat berlari memanggil doktor.

 "Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun....." Pian disahkan meninggal semasa tidur. Satu per satu wayar yang berselirat pada badan ditanggalkan. Jenazah Pian diusung keluar. Dengan pandangan sayu Eman mengiringi jenazah rakan sebiliknya. Tinggallah dia bersendirian, tidak ada lagi siapa yang akan bercerita padanya tentang keindahan di luar sana. Eman mengesat air matanya yang jatuh ke pipi.

"Misi, boleh tukarkan katil saya ke tepi tingkap?" tanya Eman petang itu.

Jururawat memenuhi permintaan Eman dengan senang hati. Setelah semua wayar disambungkan ke tubuhnya, Eman ditinggalkan sendirian. Perlahan-lahan Eman menggerakkan badannya. Walaupun terlalu sakit tapi dia tidak putus asa untuk menjengah ke luar tingkap. Cukuplah kalau dapat melihat dunia luar dari tingkap itu walau seminit.

Tapiiiii......hanya dinding bangunan sebelah yang dapat dilihat.

 "Misi, kenapa saya tidak nampak taman, tasik dan bunga-bunga yang selalu diceritakan Pian," tanya Eman.

"Taman, tasik, bunga-bunga???" jururawat terkejut.

 "Ya, seperti yang Pian selalu cerita,"beritahu Eman.

Dengan senyum jururawat menjawab," Encik, Pak cik Pian tu hilang penglihatan sejak jatuh sakit empat tahun lalu. Malah dia tak tahu pun tingkap tu menghadap dinding bangunan."

"Habis, yang diceritakannya tu...?" soal Eman.

 "Encik," kata jururawat, "mungkin Pak cik Pian mahu menghiburkan encik yang jauh lebih muda daripadanya. Dia mahukan encik sembuh dan dapat kembali pulang ke pangkuan keluarga. Dia pernah beritahu saya, encik adalah sahabat yang paling disayanginya," kata jururawat itu.

Tergamam Eman. Perlahan-lahan air matanya meleleh. Bahunya terhinggut-hinggut menahan sedu. Padahal semasa jenazah Pian diusung dia tidak sesedih itu.

******

Ada ketika, sahabat kita lebih teruk dilanda musibah, tapi dia juga yang lebih banyak dapat memberi semangat kepada kita, sentiasa, dalam berbagai cara. walaupun mungkin dia lebih tersiksa lebih  dari kita sendiri.

Begitulah... kadangkala kita tidak sedar, bahawa kewujudan teman taulan disekeliling kita, mengajar kita sesuatu, memberi kekuatan dan mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur, ya.. bersyukur, kerana tahu bersyukur dan mengucap syukur dari hati itu berbeda..

bahawa, kita sangat bertuah, walaupun dalam musibah,
bahawa, kekuatan itu sebenarnya ada dalam diri sendiri,
bahawa.. bilamana kita tahu menilai nikmat yang Allah beri,
bagaimana pun kesukaran yang kita hadapi..
dihujungnya.. ada jalan keluar yang menanti..

No comments: