Ujian itu NIKMAT, ia mendekatkan kita dengan Sang Pecinta, kerana kasihNYa kita diberi nikmat berbisik kepadaNYA..manakala NIKMAT itulah UJIAN yang sering membuat kita alpa dan terlupa dari mana datangnya KESENANGAN yang dimiliki, namun hakikat sebenar nikmat dan ujian terdapat dalam kedua2 keadaan dan beruntunglah bagi mereka yang sentiasa menjinakkan hati untuk bersyukur dan mentaati Rabbul'Izati...
Friday, June 11, 2010
Kisah Tragis.. Sri~ Dewi
Kecuh, orang ramai lalu lalang, yang tidak tahu duduk perkara tanpa segan silu bertanya itu dan ini, samada kenal atau tidak, itu bukan menjadi hal, yang penting pokok persoalan kenapa dan apa yang terjadi ingin diketahui.
Sinar mentari terus dengan tugasnya.. tegak memancar kebumi. Pihak berkuasa kini menambah bilangan ahlinya. Dari dua buah kereta polis kini menjadi enam. Serius wajah mereka mengawal keadaan. Orang ramai pula tidak mahu berganjak. Menyebuk hendak ambil tahu apa yang terjadi. Walaupun lansung tiada kena mengena waima tidak akan terganggu hidup mereka, malah sebenarnya telah mengganggu tugas hakiki namun mereka tetap ingin terus mengikuti perkembangan yang mungkin berakhir tragedi.
Tali pita kuning telah diikat melintangi bangunan, menghalang orang ramai dari terus mara dan menghampiri. Diatas bumbung yang tidak beratap sudah lebih dari sepuluh anggota polis berceratuk penuh sabar. Masing-masing diposisi bersedia menerima arahan.
"macamana ni Puan? Dia tak mahu bercakap lansung. Dah puas kami cuba, degil sungguh dia” Zahid dari unit rundingan memberikan lapuran terkini kepada ketuanya yag baru tiba. Berkerut dahi Zahid kerana usaha belum menunjukkan sebarang hasil yang positif. Pengalaman banyak mengajar Zahid untuk menyelamatkan mangsa yang begini secara paksaan. Tapi kes yang satu ini tidak boleh dipaksa atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Puan ketua mengangguk sambil bersuara bertanya kepada Zahid “keadaanya bagaimana? . Zahid memaklumkan keadaan ‘dia’. Sudah lebih tiga jam seisi memujuk namun ‘dia’ sungguh keras hati, tidak berganjak dari niatnya untuk terjun dari tingkat sepuluh itu.
Setelah berpuas hati dengan penerangan dari Zahid. Puan ketua pun mengambil keputusan “biar saya yang cuba”. Puan ketua bersiap untuk keatas, matahari pukul 12.30 tepat itu sungguh luarbiasa panasnya. Mungkin kerana kes yang terjadi sekarang, ketegangan suasana memyebabkan bahang semakin menggigit. Berkemeja lengan panjang dan jeans adalah pakaian wajib Puan Ketua atas faktor kerjayanya, memudah dan membuat dia pantas bertindak. Malah susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu lincah bergerak dalam banyak keadaan, memudah kan dia melakukan kerjanya. Rambutnya yang dipotong pendek menyerlahkan lagi kewibawaannya.
Setelah bersedia Puan ketua bertanya Zahid.. “ apa nama ‘dia’?
“dewi.. dewi Puan....” itu saja yang sempat disebut Zahid. Puan ketua terus melompat mata tangga sebelum sempat Zahid meneruskan bicara. Zahid kehilangan kata melihat Lincahnya Puan Ketua bergerak tanpa membazirkan masa.
Puan Ketua kini berhadapan dengan ‘dia’. Degup jantung Puan Ketua sama kuatnya dengan deru angin ditingkat sepuluh tanpa bumbung itu. Dewi… sedari tadi menghayunkan kakinya yang terjuntai kebawah. Kehadiran Puan Ketua disedari Dewi. Lalu dia menjeling dengan wajah penuh kemarahan, yang tidak mungkin luput dalam waktu yang singkat.
"awak pula.. nak apa lagi, tak cukup ke polis tadi tu ha!” tengking Dewi kasar
“tak ada apa.. saje je” tanpa memandang kepada Dewi walaupun sebenarnya bola mata Puan Ketua sentiasa dalam keadaan awas. Dia mahu duduk bersama Dewi.
“hey! Tak payahlah nak susah kan diri nak pujuk aku, aku tetap akan terjun, apa nak jadi, jadilah. Aku dah tak kisah, baik kau pergi.. aku kata pergi!!” suara kasar Dewi bertukar marah. Matanya merah kerana tidak berhenti menangis, ada bayangan gelap dibawah mata, rambutnya kusut masai bajunya tidak lah dari kain lusuh, malah boleh dikatakan Dewi mungkin saja dari golongan orang yang berada, kerana mampu menyarungkan baju tidur kain sutera.
Emm.. bagus juga dia mahu bercakap..mudah sikit kerja aku, dari dia keras membisu, sekurang-kurangnya aku dapat menggagak duduk perkara.. Puan Ketua menyelitkan rasa syukurnya disitu.
“emm baguslah kalau awak ada keputusan sendiri, kalau orang lain tu susah sikit nak buat keputusan. Tapi awak senang je kan, oklah tu, tapi sebelum tu, saya nak tanya sikit je.. boleh?”
“apa awak ni, polis tadi sibuk pujuk saya jangan terjun, tapi awak tak kisah pun”
"emm... ini hidup awak, keputusan awak. Saya tak ada kena mengena. Terpulanglah, saya ikut je. Tapi sebelum tu saya nak tanya sikit boleh ?” sepatah demi sepatah dengan begitu tenang dan lembut Puan Ketua menuturkan kata. Itu yang dilakukan demi menarik perhatian sekali gus mengalih tumpuan Dewi.
“huh, kau nak tanya apa?” Dewi tetap berkasar.
“tak, nanti lepas awak terjun, mungkin awak akan mati, maklumlah ini tingkat sepuluh, hentakkan yang kuat ketika awak jatuh, patah remuk tulang temulang awak dalam badan tu sudah gerenti. Otak awak akan bersepai dan menyepah sana sini... setakat awak ni saya tenguk gerenti berkecai, sebab bentuk badan awak cantik. Pinggang awak ramping, kulit putih gebu, rupa emm memang jelita. Saya pasti sebelum awak sempat cecah kebumi nyawa awak dah melayang dulu, emmm jadi kami akan mengutip cebisan dari kecantikan awak dibawah sana.. ok, balik pada soalan saya tadi.. apa saya nak cakap pada anak-anak awak nanti?”
“mana awak tahu saya ada anak?” Dewi berpaling hairan.
“ah senang je.. saya lihat ada cincin tanda dijari manis awak, tak kan lah orang bujang nak buat macam ni. Kecuali orang yang sedang marahkan suaminya saja yang sanggup buat begini, jadi kalau awak dan terjun nanti apalah saya harus beritahu anak-anak awak nanti?”
untuk sepuluh saat berikutnya mereka berdua tidak berkata-kata. Orang ramai yang berkerumut semakin membusut. Walau terik mentari memancarkan sinar dan keresanan akibat kepanasan, namun bahang kisah ditingkat sepuluh itu lebih hebat hingga mereka semua tetap tercatuk keras tanpa mahu berganjak.
“awak katakan yang.. saya …saya…. “.. mala kehilangan kata, dia menangis, bila terbayangkan wajah polos anak-anaknya. Setelah menyeka air mata dengan kedua tapak tangannya dia menyambung “mama.. minta maaf” tersekat suara itu dikerongkong antara dengar dan tidak.
“baiklah.. emm itu saja ke?” tanya Puan Ketua, Dewi hanya mengangguk kepala.
Puan Ketua juga terangguk-angguk menujukkan yang dia mengerti “ oh ye, awak tahukan turutan soalan tu nanti, masa menjawab biar jelas ya...” Puan Ketua sudah bangun untuk meninggalkan Dewi.
“soalan? Soalan apa pula?” tanya Dewi.
“eh biasalah kan bila seseoang itu mati, malaikat Mungkar dan Nakir akan datang bertanya soalan cepu mas, cam biasa Siapa Tuhanmu, apa kiblatmu, apa agamamu, ha soalan yang macam tu. Sebelum awak ditempatkan kepintu kanan atau pintu kiri, yelah kalau pintu kanan tu kesyurga, kalau pintu kiri tu keneraka, masa tu nampak gayanya awak kena tahanlah seksa kubur sampai kiamat, sampai hari kebangkitan, makhluk yang paling seronok masa tu dah tentu lah syaitan yang berjaya dalam tugasnya memujuk awak mendengar kata-kata dia. Eh.. jangan lah wak kata tak tahu, segan betul saya dibuatnya. Saya lansung tak paham dan pandai bab-bab agama ni. Oleh kerana awak dah ada keputusan, maka saya minta diri dulu ya. Maaf kalau ada salah silap kata dari saya” Puan Ketua sopan meletakkan tangan kanan kedada dan menundukkan sedikit kepalanya. Sambil ingin berpaling pergi.
"bukan aku.. bukan salah aku.. ni semua salah dia.. dia yang buat hidup aku hancur” angin kemarahan Dewi bertiup kembali setelah reda sebentar tadi.
Puan Ketua berpaling semula “kalau begitu, kenapa awak yang menghukum diri, sedangkan bukan salah awak, orang yang salah yang patut terima hukuman” Puan Ketua mahu Dewi sedar akan tindakannya itu.
“sebab dia tak sayang kan aku lagi”
“awak ingat ‘Dia’ tak kecil hati dengan tindakan awak ini?”
“aku peduli apa? dia ada peduli?
“hati ‘Dia’, hati Tuhan awak.. awak tak peduli?
“Dia dah tak sayangkan saya” akhirnya tangisan Dewi yang tertahan pecah mencurah.
“kalaulah benar.. kalau lah benar Dia tidak menyayangi awak, kenapa dia beri awak cahaya mata. Dia buat rupa awak secantik ini, dia beri awak merasa nikmat hidup selama ini?” Puan Ketua sudah menjangkakan Dewi umpama layang-layang yang terputus talinya.
“tapi kenapa Dia biarkan aku menderita sampai begini sekali.. kenapa ha!!?” Dewi meraung dan menjerit kuat persoalan itu. Sepantas itu juga.. seperti tayangan sebuah video semua kejadian dan penderitaan zahir batin yang ditanggung selama ini berputar ligat.. Dewi bagai anak kecil menangis mendayu. Puan Ketua menjadi saksi sebuah kisah terakhir Dewi.. Puan Ketua menarik nafas panjang dan perlahan dia berkata.
“bukan Dia yang membiarkan awak menderita sampai begini Dewi, tapi awak yang telah lama membiarkan Dia, tak menghiraukan Dia, sebab Tuhan awak masih sayangkan awaklah Dia beri kesempatan kita bercakap dihujung bumbung ini”
Doktor dan jururawat telah lama berada ditempat kejadian. Masing-masing pantas dan cekap melakukan tugas tanpa dipinta.
“tak apalah Zahid, kita dah cuba..” Puan Ketua bersuara seakan berbisik kesisi bahu Zahid. Ketika mereka sama duduk sebentar melepaskan lelah. Peluh jantan yang menitik diseka dengan tangan oleh Puan Ketua.
“lain macam je Puan ni, kenapa? Zahid perasan perubahan wajah Puan Ketuanya. Hampir saja pucat lesi. Dia mengarahan dengan hujung jari telunjuknya agar Zahid mendekatinya.
“kalau awak nak tahu. Saya sebenarnya tadi agak gayat juga” kata Puan Ketua sambil tersenyum. Zahid membalas senyuman. Kini kenyataan itu menjadi rahsia mereka berdua.
Mereka bangun untuk bersiap pulang kembali keibu pejabat untuk membuat lapuran bertulis. Zahid yang masih disisi Puan Ketua ketika dihampiri ‘dia’. Mata mereka betentang, ada yang ingin dinyatakan,. Saat yang menjadi pengajaran buat mereka semua. Dia begitu lemah.. badannya dibaluti selimut, jalannya juga dipapah jururawat dikiri dan kanan.
Dia merenung wajah yang mengingatkan dia tentang masih adanya Tuhan yang selama ini telah dia lupakan. Dia yang telah mengingatkan dirinya tentang walaupun hidup ini berliku liku, namun masih ada jalan lurus yang beralun didepan sana. Tuhan telah ditinggalkan kerana dia terlupa. Kini dia sedar. Malah jauh disudut hati, dia sangat bersyukur dipertemukan dengan orang yang telah menyedarkan dirinya..
Dengan suara yang hampir hilang, sedaya upaya dia cuba mengungkapkan bicara. Rasanya tiada kata yang lebih bererti dan bermakna..dan ini lah yang terbaik, hanya sepotong sambil merapati, dia berkata “assalamu’alaikum..”
Dengan senyuman dan suara yang lembut Puan Ketua membalas “sama-sama” dan Zahid menjawab lengkap walaupun seraya berbisik.
Lalu Dewi menjadi hairan dan sebaik ia duduk didalam ambulan, Dewi bertanya, kenapa Puan Ketua hanya menjawab sama-sama tidak seperti Zahid. Kenapa Puan Ketua tidak menjawab sebagaimana orang Islam.
Sambil menggosok lembut bahu Dewi.. jururawat pun menjawab dengan lembut “ sebab Puan SRI tidak seperti kita DEWI”.......
~UNJ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment