SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: Malam Valentine's itu Aku..

Tuesday, June 22, 2010

Malam Valentine's itu Aku..

Hari tu seperti biasa aku akan menjemput buah hatiku Rozy, apalagi kalau tidak untuk menghantarnya pulang. Tapi rasanya hari ini special sikit, dari semalam aku telah merancang untuk membawa Rozy makan malam yang romantik sikit. Tak bestlah hari hari makan kat kedai mamak kutty bawah flat Rozy tu je. Kalau awal bulan makan kami sedap sikit, nasi beryani dengan ayam atau kambing, bila dah tengah bulan mulalah Maggie goreng atau mee goreng mamak yang kami kongsi berdua. Tak kisahlah kenyang atau tidak, janji aku dapat tatap wajah Rozy yang comel dan badannya yang gebu itu.

Aku kenal Rozy 6 bulan dulu, waktu itu aku kekilang tempat dia bekerja untuk menghantar surat bagi pihak pengurusannya. Waktu kali pertama memandang wajah Rozy aku terpesona dengan senyumannya yang manis bak gula merah. Wah jambu betul awek ni. Sejak dari itu, pantang ada surat yang akan dihantar kesana, aku akan tercari-cari wajah Rozy. Masuk bulan kedua, aku sudah berani minta nombor telefon Rozy.

Sejak ada nombor telefonnya, tiap malam aku bergayut mengayat Rozy agar dia mahu keluar dengan aku. Mulanya Rozy jual mahal. Maklumlah aku Cuma despetch sedangkan dia sudah senior dikilangnya. Tapi dari pengalaman lalu aku tahu bagaimana untuk mencairkan hati perempuan. Mereka suka dipuji, mudah sangat percaya apa saja yang dikatakan lelaki.

Tapi kali ini aku rasanya benar benar sudah jatuh cinta. Sehari tidak menatap wajah Rozy aku tidak puashati. Tawanya, lenguk lentuknya, buat jiwaku bergelora. Hasrat untuk aku ‘menikmati’ Rozy aku pendamkan, biarlah bila waktunya sampai.

Hari ini hari Velentine, semalam Rozy ada merengek rengek bertanya, apa rancangan aku untuknya. Aku pura pura buat tak kisah. Mujur dia tidak merajuk. Puas aku pujuk akhirnya aku katakan biarlah rahsia... special sikit. Barulah dia mahu menguntum senyuman manisnya.

Tak sabar rasanya nak habiskan kerja. Jam 5 aku terus cabut, ambil Rozy hantar dia balik dan berjanji untuk mengambilnya semula jam 8 nanti. Aku terus balik dan mandi serta bersiap untuk malam yang special ini. Minyak wangi Dunhill (cap ayam) aku sembur dari atas kepala sampai hujung jari kaki. Jambul aku bubuh gel bagi nampak basah basah sikit, biar hensom aku pada pandangan Rozy. Malam ini aku dah nekad aku mesti luahkan perasaan hati ku yang terbuku selama ini..ya malam ini.

Aku jemput Rozy tepat jam 8 malam. Wah cantiknya awek aku ni. Baunya…fuh, bergegar nafsuku. Rozy juga pakai baju baru sebab aku tidak pernah nampak baju ini. Potongan leher bajunya yang begitu rendah menampakan lurah dendamnya yang gebu. Aku menelan liur yang terkumpul. Ahhh Rozy….

Aku bawa Rozy ke Tupai Tupai untuk menikmati makan malam. Rozy begitu seronok, aduhs dia tak tahu aku pecahkan tabung ayam aku untuk tambah duit bagi acara malam ini. Kesian ayam aku pecah. Oklah nanti aku beli ayam lain je. Tapi tak apalah demi Rozy aku buat apa saja.

Malam ini aku lihat Rozy lain sungguh, manjanya berbeza, suaranya mendayu dayu, lentuknya terlebih lama dari biasa dan begitu dekatnya Rozy dengan tubuhku hingga aku mampu merasa bahangnya. Emm Rozy seperti menghantar isyarat kepada aku. Aku rasa dia juga tahu apa yang aku mahu. Dalam kesempatan malam itu, aku meluahkan perasaan aku kepadanya.

Rozy Cuma tersenyum dan tersenyum, aku gelabah bila dia begitu. Tiba tiba dia terus mencium pipiku sambil berkata bahawa dia juga mempunyai perasaan yang sama seperti ku. Yahooooooo!!! Aku punyalah suka..

Kami habiskan makan dan merancang untuk pulang. Tapi rasanya aku tidak boleh lagi bersabar. Aku sudah tidak mampu untuk menahan gelora dihati. Aku beranikan diri mempelawa Rozy kerumah. Kebetulan malam itu rakan serumah aku pun outstation. Jadi dah tentu tiada gangguan. Rozy aku lihat tidak lansung membantah.

Sampai dirumah, aku dan Rozy duduk diruang hadapan sambil menonton TV, saje aku buka satu saje lampu bagi malap sikit, romantiklah kononnya, dalam pada itu, tubuhku dan Rozy semakin rapat, nafas Rozy turun naik seakan mendesah, satu perasaan panas bagai menjalar dalam urat sarafku, aku tidak lagi mahu buang masa, aku rebahkan rozy dikerusi panjang, aku belai rambutnya sambil bibirku mencari bibir Rozy.

Bukan aku tidak tahu dosa, bukan aku tidak takut akan balasannya, tapi alang alang mandi biarlah basah, malam ini saja. Nanti aku taubatlah. Aku sebenarnya menggigil, aku teringat waktu belajar agama dulu, tak akan aku lupa firman Allah dalam surah Al-Furqan “barang siapa yang melakukan sedemikian (syirik, membunuh dan berzina, ia akan disiksa berlipat ganda diakhirat kelak dan kekallah azab keatasnya dalam keadaan teramat hina sekali.. ayat 68, ye.. tapi..

Bagaimana aku mampu melepaskan keseronokkan ini. Bukan selalu peluang datang seperti ini, aku tidak pernah ada peluang mempunyai awek sebelum ini.
Tapi sekali lagi aku teringat Hadis Nabi, barang siapa berzina atau minum arak, Allah akan cabut iman dari dadanya bagaikan orang menangalkan pakaian dari badan. Tapi aku janji aku akan taubat selepas ini. Aku cuma nak merasa hangatnya berasmara sekali ini saja.


Sedang aku dan Rozy asyik bercumbu-cumbuan, memulakan mukadimah sebelum adengan lebih panas.. tiba tiba pintu hadapan diketuk, ketukkan bertalu talu itu mengejutkan kami. Tok tok tok..tok tok tok..semakin lama semakin kuat “assalamu’alaikum buka pintu ni. siapa ada didalam tu, buka pintu ni..ni JAIS ni. dengar tak”

Aku terkedu, Rozy sudah menangis dan menggigil disisi ku. Saat itu baru aku teringat emak dan ayah dikampung. Ayah yang kerjanya sebagai tok siak tentu dikata orang sebab perbuatanku. Emak sudah pasti pengsan kalau tahu kerja terkutuk yang aku lakukan. Ketukan dipintu tidak berhenti.

Aku tidak mahu ditangkap khalwat. Malu, Rozy juga tidak mahu, tentu saja dia lebih malu dari aku. Tiada pilihan, aku suruh Rozy lari ikut pintu belakang. Mulanya Rozy tidak mahu, aku terpaksa berkeras menyuruh dia buat pilihan samada takutkan gelap atau tanggung malu ditangkap khalwat bersama ku. Aku bagi dia duit RM10 buat tambang teksi. Rozy lari tanpa kasut dengan baju tidak betul kancingnya.

Aku mengusap rambut, memperkemaskan butang baju dan mengelap bekas lipstik Rozy dimulut. Dengan lafaz Bismillah (eh, baru aku nak ingat Tuhan, hampeh punya manusia aku ni) dikepala aku sudah terbayang, tok imam tok siak, AJK penduduk, polis dan jiran tetangga berkerumun diluar rumah. Aku terbayang wajah ayah dan ibu yang bercucuran air mata menahan malu, aku teringat guru guru agama ku, teringat kalau di kampung, aku adalah antara orang kuat masjid.tapi hari ini aku hampir ditangkap kerana berkhalwat ahhhh.. malunya.. pada manusia.. pada Tuhan!! Ya Allah...perlahan lahan aku buka pintu. Tiba tiba yang aku lihat hanyalah seorang pemuda kurus kering berkemeja belang.


“eh lambatnya kau buka pintu, penat aku panggil tadi”
‘erk aku dah tidolah” sambil aku menggosok gosok mata
“tido! Fuh tido pun lawa ke, lain macam punya stail ko ni ye?”
aku dah mula terbakar “ko ni siapa? Nak apa?”
“oh ye, aku JAIS kawan Zaini, nak hantar barang dia ni, dia suruh bagi pada kau, kau kawan rumah dia kan Roslan” katanya sambil menghulurkan satu bungkusan.
Ha!! JAIS kawan Roslan.. bukan Jabatan Agama Islam Selangor!!!???

Aku terkedu,
“roslan, oh Roslan, boleh tak bagi barang ni pada Zaini bila dia balik nanti?
“ha ah. Yelah JAIS aku Roslan, oklah aku ambilkan”
“ok terima kasih ye, pergilah sambung tido ko tu, sori kacau daun ” kata JAIS sambil tersenyum senyum macam menyindir je mamat kering ni. Aku hempas daun pintu.

Aku duduk dikerusi,. Tiba tiba aku sebak, terasa tengkuk ku panas dan telinga ku merona. Mata aku mula berpasir dan aku menangis. Aku menangis semahunya..aku mendongoi dan meratap, terasa dadaku bagai ingin pecah. Aku kecundang dimalam velentine, aku kecundang dalam nafsu yang bermaharaja.

Betapa sayangnya Allah kepada ku, aku telah menghampiri zina, tapi tentu saja berkat doa kedua orang tuaku, berkat amanah mereka agar aku tidak melakukan dosa dan sentiasa ingat akan Allah., maka Allah menegurku. Syukur aku pada Allah, Dia telah menyelamatkan aku ketika aku hampir saja lemas dan karam. Kalaulah tidak kerana JAIS muncul tiba tiba. Dan kalau lah namanya tadi tidak JAIS

Rasanya harus aku tidak membuka pintu dan membiarkan saje dia, atau kalau pun pintu aku buka, Rozy tetap akan aku sorokkan didalam rumah dan sudah pasti kami akan menyambung nikmat yang terputus. Atau kalaulah tiada kemunculan JAIS entah berapa kali aku dan Rozy berdayung tapi hanyut.

Aku menangis dan terus menangis, hingga rasa lemah seluruh badanku. Aku malu, kali ini aku betul betul malu kepada Allah. Aku bangun dan capai tuala, aku melangkah kebilik air, aku mandi semahunya, aku cuba mengambil wuduk, tapi aku menggigil, sudah 3 tahun aku di Kuala Lumpur. Rasanya kali inilah yang sebenarnya keinginan aku bersolat dengan redha. Selama ini aku sekadar melakunkan ritual sembahyang.

Aku bentang sejadah, aku angkat takbir, air mataku laju menitis. Sepanjang bersolat aku menangis tanpa suara. Sujudku lama, dalam sujud aku benar sedar bahawa aku ini hanyalah seorang hamba yang kotor. Segalanya kotor, dosa dan pahala ku berjalan seiringan, tapi dosaku lebih gemuk dari pahala yang aku ada. Kali ini baru aku terasa benar nikmatnya bila dahi mencecah sejadah didunia.....


* sebagai manusia dosa dan pahala kita jalan beriringan, betapa kotornya kita, segalanya najis, dalam telinga bernajis, dalam hidung ada najis, dalam perut lagi banyak najis, tapi begitu sayangnya Allah kepada kita, dia izinkan kita ‘bertemu dan berbisik bisik dengan NYA’ tanpa halangan dan had waktu. Tidak kira samada kita bergelumang dosa, atau sentiasa menyucikan hati. DIA sentiasa mudah untuk didekati. Yang sering menjauh adalah kita, yang sering bertangguh adalah kita, yang sering terleka adalah kita....

~ kisah diatas adalah rekaan  semata mata, jika ada persamaan dari segi nama dan watak ia adalah sekadar kebetulan. Tidak membuka aib sesiapa, sekadar renungan bersama..

No comments: