SCM player skins UJIAN ITU NIKMAT: BELAJARLAH DARI SEBUAH MANGKUK...

Sunday, June 6, 2010

BELAJARLAH DARI SEBUAH MANGKUK...


Kurang lebih mungkin saja kita terlepas pandang. Bibir munggil kita begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan. Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya” (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.


*******
Seorang raja bersama pengiringnya keluar dari istananya untuk menikmati udara pagi. Di keramaian, ia berjumpa dengan seorang pengemis. Sang raja menyapa pengemis itu.

Apa yang kau inginkan dariku ?

Si pengemis itu tersenyum dan berkata;
Tuanku bertanya seolah-olah Tuanku dapat memenuhi permintaan hamba

Sang raja terkejut dan berasa pelik;
Tentu saja aku dapat menunaikan permintaanmu. Apa yang engkau minta, katakanlah!

Maka menjawablah si pengemis tadi;
Berfikirlah dua kali, Wahai Tuanku sebelum Tuanku menjanjikan apa-apa…

Sudah aku katakan, aku dapat memenuhi permintaanmu, Apapun juga! Aku adalah raja yang paling berkuasa dan kaya raya.

Dengan penuh kejujuran dan kesederhanaan si Pengemis itu menghulurkan mangkuk penadah sedekah.

Tuanku isilah apa yang Tuanku nak bagi kepada hamba di dalam mangkuk ini.

Raja menjadi geram mendengar kata-kata sang pengemis dihadapannya. Diperintahkannya bendahara untuk mengisi penuh mangkuk si pengemis yang kurang ajar itu dengan emas. Kemudian bendahara pun menuangkan emas dari pundit-pundi yang besar yang dibawa bersamanya ke dalam mangkuk si pengemis. Anehnya emas di dalam pundit-pundi itu tidak dapat memenuhi penuh mangkuk sedekah tersebut.

Tidak mahu malu didepan rakyatnya, sang raja terus memerintahkan bendahara mengisi mangkuk itu. Tapi mangkuk itu tetap kosong. Bahkan seluruh perbendaharaan kerajaan, emas, intan berlian, ratna mutumanikam telah habis dilahap oleh mangkuk sedekah itu. Mangkuk itu seolah-olah tanpa dasar dan berlubang.

Dengan perasaan tak menentu, sang raja jatuh bersimpuh dikaki pengemis tadi lalu bertanya….

Sebelum berlalu dari tempat ini, dapatkah tuan menjelaskan terbuat dari apakah mangkuk sedekah ini ?

Pengemis itu tersenyum sambil menjawab :

Mangkuk itu terbuat dari 'keinginan manusia tanpa batas'. Itulah yang mendorong manusia sentiasa bergelut dalam hidupnya. Ada kegembiraan, keinginan memuncak di hati, pengalaman yang mengasyikkan kala engkau menginginkan sesuatu. Ketika engkau akhirnya mendapatkan keinginan itu, semua yang telah engkau dapatkan itu, seolahnya tidak lagi bererti bagimu.Semuanya hilang ibarat emas, intan berlian yang masuk ke dalam mangkuk yang tidak beralas itu.

Kegembiraan, keinginan, dan pengalaman yang mengasyikkan itu hanya hadir tatkala proses untuk mendapatkan keinginan . Begitu saja seterusnya, wujud pula keinginan baru. Orang tidak akan merasa puas. Ia selalu merasa kekurangan. Anak cucumu kelak akan mengatakan, kekuasaan akan cenderung untuk berlaku tamak.

Raja itu bertanya lagi;

Adakah cara untuk dapat menutup alas mangkuk itu. ?

Tentu ada, iaitu rasa bersyukur kepada ALLAH SWT. Jika engkau pandai bersyukur, ALLAH akan menambah nikmat padamu . ucap sang pengemis sambil berlalu dan hilang dari khalayak .

Ketika Tuhanmu memberi tahukan : Demi, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika engkau mengingkari nikmat ku, maka sesungguhnya azab ku sangat pedih. ( Ibrahim : 7)


Moral : Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: “Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit” Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”

Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur” Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah” jelas pemuda berkenaan.

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu”

Subhanallah....
Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin…

~Ummi Nur Jannah~
0424.05052010

No comments: